ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei meninggal dunia akibat kanser limfoma hari ini, kata pemimpin parti.
Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli mengumumkan perkara itu di Twitter pada kira-kira jam 11.30 pagi.
“Dimaklumkan bahawa YB Shuhaimi Shafiei baru sahaja meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Subang Jaya Medical Center. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah,” katanya.
Dalam rakaman takziah di Twitter, Menteri Ekonomi, Azmin Ali menyifatkan Shuhaimi sebagai seorang teman sejati dalam politik.
“Al-Fatihah. Saya amat sedih di atas kehilangan seorang teman sejati dalam perjuangan. Semoga roh Allahyarham Shuhaimi Shafiei ditempatkan di syurga yang penuh nikmat Allah,” katanya.
Turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Shuhaimie adalah Menteri Besar, Amirudin Shari.
Beliau menyifatkan pemergian Shuhaimi sebagai satu kehilangan besar kepada Selangor dan PKR.
“Allahyarham merupakan seorang ahli dewan undangan negeri yang sangat komited, bertanggungjawab dan disenangi rakyat dan rakan taulan. Allahyarham juga merupakan sahabat karib saya dan rakan seperjuangan dalam politik.
“Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan dalam mengharungi ujian yang amat berat ini.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya seperti dipetik portal Suara Keadilan.
Amirudin juga hadir di masjid untuk memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham di masjid negeri di Shah Alam petang ini.
Jenazah allahyarham disempurnakan di masjid tersebut dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Seksyen 21.
Turut hadir di masjid hari ini adalah timbalan perdana menteri yang juga presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dalam pilihan raya umum 9 Mei, Shuhaimi memenangi kerusi Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi, menewaskan Kamaruzzaman Johari dari BN dan Mohd Yusof Abdullah dari PAS.
Shuhaimi, 50 sebelum ini merupakan Adun Seri Muda selama dua penggal dan berkhidmat sebagai setiausaha politik bekas menteri besar Azmin Ali.
Beliau kali terakhir beliau muncul di khalayak umum semasa upacara mengangkat sumpah jawatan menteri besar baharu Selangor, Amirudin Shari pada 91 Jun.
Anak kelahiran Perak itu meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia 17 tahun.– 2 Julai, 2018
Komen