PAS menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kerana melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan beberapa manifestonya.
“Dalam konteks PRK Sungai Kandis juga keputusan PAS tidak memberikan sokongan kepada kerajaan PH adalah sebagai suatu mesej bahawa mereka telah gagal menunaikan beberapa janji manifesto,” kata Takiyuddin Hassan dalam kenyataan, hari ini.
Antara janji yang gagal ditunaikan PH dalam manifestonya itu, menurutnya, adalah untuk menjaga kepentingan institusi Islam, Raja-raja Melayu dan orang Melayu.
Ahli Parlimen Kota Baharu itu berkata, beberapa kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS semasa kempen PRK tersebut tidak bercanggah dengan pendirian parti.
“Kenyataan beberapa pimpinan PAS semasa mengisi program yang diatur oleh PAS termasuk di kawasan Sungai Kandis adalah tidak bercanggah dengan pendirian parti sebagaimana di atas,” katanya.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam berkata PAS akur dengan pandangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin supaya “jangan memilih calon dari parti yang dilihat boleh membawa kemudaratan kepada Islam, rakyat dan negara”.
Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie akibat kanser pada bulan lalu.
PRK tersebut bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Lokman Noor Adam, dan calon bebas K. Murthy.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) calon PKR Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).– 1 Ogos, 2018.
Komen