DAP malam ini mengatakan tiada sebab untuk mengadakan pemilihan semula parti seperti diminta Jabatan Pendaftar Persatuan (RoS), menambah yang ia akan meminta mesyuarat tergempar dengan pihak berkuasa mengenai hal itu.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mereka terkejut dengan keputusan RoS yang disifatkannya tidak berasas dan berdasarkan tanggapan salah.
“Kami ingin menegaskan yang DAP tidak takut untuk mengadakan pemilihan parti. Penggal CEC (Jawatankuasa Tertinggi Pusat) sedia ada yang dipilih pada 2013 akan tamat dan kami dalam proses menganjurkan Kongres untuk memilih CEC baru.
“Sangat menghairankan yang RoS kini mahukan DAP untuk mengadakan pemilihan semula berasaskan senarai delegasi pada 2012, berbanding senarai 2017,” kata Guan Eng selepas tamat mesyuarat CEC di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur malam ini.
Masalah DAP dengan RoS bermula selepas kesilapan teknikal pengiraan undi semasa pemilihan parti pada 2012.
Kesilapan itu kemudiannya dibetulkan tetapi ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada RoS, menyebabkan CEC yang dipilih disytiharkan tidak sah. DAP kemudiannya mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
Pada Disember 2013, delegasi DAP Selangor meluluskan usul untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas RoS sekiranya agensi itu enggan mengiktiraf CEC parti.
Bagaimanapun, pada September 2014, DAP membatalkan saman kerana RoS mengatakan kenyataannya hanyalah bersifat “nasihat” dan tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna DAP masih lagi sebuah parti yang sah.
Isu ini dilupakan selama empat tahun dan hanya dibangkitkan kembali selepas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Najib Razak, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad meningatkan parti pembangkang itu yang CEC mereka tidak diiktiraf RoS.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Pengarah RoS Mohammad Razin Abdullah mengeluarkan kenyataan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan parti baru untuk CEC. Tetapi, parti itu ketika itu tidak menerima surat rasmi arahan itu.
DAP kemudiannya mengatakan yang mereka tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC, dan masih menunggu surat rasmi daripada RoS.
Selepas 10 hari, DAP akhirnya menerima surat rasmi daripada RoS, tetapi kandungan surat itu tidak diketahui kerana Pengerusi Biro Undang-undang Nasional DAP Gobind Singh Deo hanya mengesahkan menerima surat itu tanpa penjelasan lanjut.
Guan Eng malam ini mendedahkan isi kandungan surat itu yang disifatkan parti itu sebagai “tidak berasas” dan “berdasarkan tanggapan salah”.
RoS dalam suratnya mengatakan “wujud sebahagian perwakilan yang berhak mengambil bahagian dalam proses pemilihan semula itu tidak diberikan peluang yang sewajarnya dan secukupnya untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.”
Alasan ini disifatkan Guan Eng sebagai salah kerana jumlah perwakilan yang layak untuk pemilihan semula CEC DAP pada 2013 adalah sama seperti pemilihan CEC pada 2012.
“Ini disahkan auditor bebas yang melakukan (kerja audit) dan menyaksikan pemilihan semula 2013. Notis turut dihantar kepada semua perwakilan yang layak dan bukti penghantaran notis juga dihantar kepada RoS pada 2014,” kata Guan Eng lagi.
RoS dalam suratnya juga menyentuh mengenai pertambahan sebanyak 120 cawangan parti pada pemilihan semula CEC 2013 sebanyak 985 berbanding pemilihan 2012 yang menyaksikan 865 cawangan hadir.
Guan Eng bagaimanapun menafikan angka ini, mengatakan yang pada 2012 terdapat 751 cawangan yang layak mengundi, dan walaupun jumlah cawangan DAP meningkat kepada 985 pada 2013, hanya 751 yang layak mengundi menjadikan jumlah cawangan yang layak mengundi pada kedua-dua tahun adalah sama.
Angka yang diberikan RoS iaitu 865 cawangan yang layak mengundi pada CEC 2012 tidak pernah wujud, kata Guan Eng lagi.
“Kali pertama angka 865 timbul ialah dalam dakwaan palsu ‘Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC” rekaan watak ciptaan ‘Father Augustus Chen,” tambah Guan Eng.
Menurutnya lagi, Lim Kit Siang sudah memenangi kes saman terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan laporan palsu itu dan dianugerahkan RM250,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014. – 19 Julai, 2017.
Komen