Bekas ketua SPRM kini bekerja di firma guaman wakili Umno


Bede Hong

Carian di laman sesawang Badan Peguam mendapati Dzulkifli Ahmad didaftarkan sebagai peguam yang bekerja dengan Scivetti & Associates. Firma itu diupah Umno untuk menuntut RM116.7 juta yang dirampas polis dari kediaman dikaitkan dengan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Julai, 2018.

BEKAS ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad diambil bekerja oleh firma guaman yang diupah untuk menuntut RM116.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan berkaitan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Carian di laman sesawang Badan Peguam mendapati Dzulkifli didaftarkan sebagai peguam yang bekerja dengan Scivetti & Associates. Datanya kali terakhir dikemas kini pada 9 Julai lalu.

Scivetti & Associates baru-baru ini dilantik Umno untuk menuntut wang tunai dirampas polis dalam serbuan ke atas kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Wang dan barangan yang bernilai mencecah RM1.1 bilion itu dirampas dalam siasatan berkaitan 1MDB dari kediaman dikaitkan dengan Najib.

Tania Scivetti, ketua firma itu sebelum ini pernah bekerja dengan peguam Umno, Shafee Abdullah dalam beberapa kes. Scivetti dilahirkan di Australia dan mendapat pendidikan di Amerika Syarikat diterima masuk ke dalam kamar Mahkamah Tinggi Malaysia pada 2007.

Shafee adalah ketua peguam untuk Najib yang kini berdepan pertuduhan rasuah berkaitan dengan SRC International, syarikat milik Kementerian Kewangan yang sebelum ini adalah anak syarikat 1MDB.

Dzulkifli, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meletak jawatan sebagai ketua SPRM pada 14 Mei, lima hari selepas Pakatan Harapan menang pilihan raya.

Beliau kembali ke jawatan lamanya di Jabatan Peguam Negara tetapi diarah bersara awal.

Dzulkifli dilantik mengetuai SPRM pada 1 Ogos 2016, selepas jawatan itu dikosongkan ketua SPRM ketika itu Abu Kassim Mohamed. Tempoh khidmat Dzulkifli di SPRM sepatutnya tamat pada 2021.

Beliau juga terpalit kontroversi Oktober tahun lepas selepas beberapa rakaman video tersebar menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang.

Polis mengumumkan mereka sudah membuka kertas siasatan ke atas kes itu, tetapi tiada perkembangan kes berlaku. Menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang adalah satu kesalahan di Malaysia menurut Seksyen 498 Kanun Keseksaan. – 21 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • semoga kes 1MDB dapat diselesaikan dengan cepat.. jika benar duit yang dirampas itu hasil yang salah maka sprm perlu bertindak mengikut undang2.. kita tunggu saja siasatan selesai

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jessi Jane · Ulasan