Putrajaya arah Dzulkifli bersara awal


Muzliza Mustafa

Tempoh perkhidmatan Dzulkifli Ahmad sepatutnya tamat pada 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2018.

Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lepas, kemudian kembali ke jawatan lamanya di Pejabat Peguam Negara telah diarahkan supaya bersara awal, menurut sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Dzulkifli diberitahu supaya bersara awal pada 8 Jun selepas cadangan Putrajaya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dzulkifli, 52, dilantik untuk mengetuai SPRM pada 1 Ogos 2016 menggantikan Abu Kassim Mohamed. Tempoh perkhidmatan Dzulkifli sepatutnya tamat pada 2021.

Abu Kassim ketika itu terlibat dalam pasukan khas yang menyiasat skandal 1Malaysia Developmnet Berhad (1MDB).

Pasukan khas yang turut dianggotai bekas peguam negara Abdul Gani Patail, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, dibubarkan  oleh Najib Razak.

Dzulkifli meninggalkan SPRM pada 14 Mei, iaitu lima hari selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14, memberi laluan kepada Shukri Abdull yang kembali dari bersara selepas PH membuka semula siasatan terhadap 1MDB.

Dalam ucapannnya kepada kakitangan SPRM, Dzulkifli mengucaplan tahniah kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan berkata beliau akan kembali semula ke Pejabat Peguam Negara.

Dzulkifli terpalit kontroversi pada Oktober tahun lepas selepas rakaman video mendakwa beliau mempunyai skandal dengan isteri orang tersebar di media sosial.

Polis mengumumkan telah membuka kertas siasatan mengenai kes tersebut tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

Pada Rabu, Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Lahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin mengemukakan surat peletakan jawatan bertarikh 7 Jun kepada Agong.

Terdahulu, perkhidmatan bekas peguam negara Mohamaed Apandi Ali ditamatkan dan tempatnya digantikan dengan Tommy Thomas. Sementara itu, terdapat laporan mengatakan Putrajaya bercadang untuk membuat perubahan dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia. – 14 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen