Apa jadi dengan media dalam 'Malaysia baharu'?


Mustafa K. Anuar

DENGAN ikrar kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) mahu menjadikan media lebih bebas seperti dijanjikan semasa pilihan raya umum yang lalu, hala tuju media arus perdana selepas 9 Mei kini jadi perhatian rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang dahagakan kebebasan bersuara.

Perhatian ini lebih bertumpu pada pertubuhan media yang dimiliki dan dikawal oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam pilihan raya umum lepas, iaitu Umno dan MCA.

Kerajaan PH sudah mengumumkan ia menimbang untuk memansuhkan Akta Anti Berita Tidak Benar yang diluluskan dengan tergesa-gesa, yang umumnya dianggap alat pentadbiran BN untuk membungkam dan menghukum kritikan terhadap kerajaan sebelum ini.

Dengan semangat pembaharuan media dan demokrasi, beberapa kumpulan masyarakat menggesa kerajaan PH untuk turut menimbang memansuhkan atau menyemak semula beberapa undang-undang menekan yang mengawal selia industri media seperti Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan.

Bagi kebanyakan media yang ada kaitan dengan BN yang sudah terbiasa dengan persekitaran media yang dikawal serta pemerintahan BN sejak sekian lama, era pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini adalah satu penerokaan ke suatu suasana yang tidak menentu.

Sesetengah media ini mendapati mereka tersepit antara kehendak parti komponen BN yang memiliki dan mengawal mereka, serta jangkaan untuk mematuhi kerajaan yang memerintah.

Ini sebenarnya membuka ruang kepada sesetengah media tersebut untuk melapor dengan adil dan beretika, prinsip yang selama ini dikesampingkan sejak sekian lama. Ia juga barangkali satu-satunya pilihan yang ada untuk mereka kekal relevan dan terus bernafas dalam suasana politik yang baru.

Menyelak sepintas lalu akhbar New Straits Times dan The Star misalnya menunjukkan kepada kita ada usaha untuk meliputi isu dan acara yang berkaitan dengan kerajaan hari ini, selain melaporkan pihak di seberang politik sebelah sana.

Tidak seperti The Star, NST menyiarkan sedikit iklan, yang mungkin tidak boleh menampung kos operasinya. Iklan-iklan ini pula kecil, termasuk keputusan loteri.

Selain itu, struktur pemilikan media ini boleh jadi satu halangan atau konflik dalam hendak menentukan hala tujunya. Misalnya, Umno memegang 19.05% saham, melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd dan Altima Inc, dalam Media Prima, konglomerat media terbesar yang mengendalikan empat rangkaian televisyen, enam akhbar cetak dan beberapa stesen radio.

Pemegang saham lain – terutamanya dana pelaburan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) – memiliki pegangan terkumpul 35.97% dalam syarikat. Ini menjadikan kedudukan Umno dalam Media Prima terdedah kepada pelan korporat dana pelaburan berkaitan kerajaan yang mungkin bercanggah dengan kepentingan parti itu.

Begitu juga keadaannya di Star Media Group Bhd, yang menerbitkan The Star, akhbar berbahasa Inggeris dengan edaran harian paling tinggi. Ia juga mengendalikan stesen radio berbahasa Cina 988 dan dimsum.my, perkhidmatan video atas permintaan tempatan.

Star Media merupakan sumber pendapatan utama MCA yang memiliki pegangan 43.03% dalam syarikat itu.

Pemegang saham lainnya ialah dana pelaburan milik kerajaan seperti KWSP, PNB, KWAP, Lembaga Tabung Haji dan beberapa yang lain, yang secara terkumpul memegang 32.57% saham. MCA mungkin kurang selesa sekiranya pemegang saham lain tidak setuju dengan pelan kumpulan media itu.

Utusan Melayu, yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!, ialah sebuah lagi kumpulan media yang dikuasai Umno, yang memegang saham sebanyak 49.77%.

Nilam Setar (M) Sdn Bhd – milik ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang diketahui dekat dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad – adalah pemegang saham kedua terbesar sebanyak 14.76%. Ada potensi akan berlaku pertembungan dalam kumpulan itu, kalau melihat pada struktur pemilikannya.

Berita berkaitan: Kumpulan Utusan akan dapat ketua pengarang baru

Utusan Melayu sejak enam tahun berturut-turut menanggung kerugian yang kini mencecah RM71.4 juta pada awal tahun ini. Salah satu sebabnya ialah kandungan keseluruhan penerbitannya, yang secara umumnya memihak kepada Umno dan politik Melayu.

Dalam “Malaysia baru” sekarang, kumpulan media Umno perlu melakukan perubahan paradigma sebagai satu langkah pemulihan. Tetapi langkah ini mungkin sukar berlaku selagi Utusan Malaysia, terutamanya, terus bersikap seperti lidah parti dan bukannya sebuah akhbar.

Selain iklan-iklan berkaitan kerajaan dan notis kebankrapan, iklan dalam Utusan Malaysia hampir tidak ada – yang tentunya tidak baik untuk kedudukan kewangannya.

Sebagai perbandingan, akhbar harian Sinar Harian, penerbitan kemegahan kumpulan media Karangkraf, tumbuh dan berkembang maju sejak 12 tahun lalu, terutamanya di Semenanjung Malaysia melalui lapan edisi wilayahnya.

Berita berkaitan: Akhbar berani akan terus kekal

Tentang bagaimana Sinar Harian boleh bertahan tanpa bermasalah dengan penguasa, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengarah urusan Karangkraf, Hussamuddin Yaacub menjelaskan akhbar itu cuba meneroka ruang baru, tetapi pada masa sama mengamalkan pemberitaan yang adil dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, Karangkraf, yang bukan dimiliki oleh mana-mana parti politik, pernah berdepan dengan sekatan ke atas penerbitannya lama dulu, iaitu Bacaria, Watan dan Eksklusif. Namun episod itu tidak menghalang beliau daripada terus bergerak ke depan kerana boleh terus hidup dengan perniagaannya yang lain.

Dengan empat cabang perniagaan yang berlainan – majalah, buku, akhbar dan percetakan – beliau dapat menyelamatkan syarikat daripada runtuh dan terpaksa membuang pekerja, katanya.

Model perniagaan media Hussamuddin nampaknya didasarkan atas prinsip “tutup satu penerbitan, saya buat benda lain”.

Era baru ini menjanjikan tempoh yang mencabar terutamanya bagi media yang dekat dengan parti politik. Bagaimanapun, ia juga satu ujian sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan sedia mengotakan janji mahu mewujudkan persekitaran media yang lebih bebas. – 16 Julai 2018.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen