WALAU industri akhbar berubah mendadak selepas pilihan raya umum 9 Mei, penerbit veteran Hussamuddin Yaccob percaya akhbar yang berani dan mempunyai reputasi baik akan terus kekal.
Pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd itu yakin faktor berkenaan akan mendorong pembaca dan pengiklan untuk terus memilih akhbar terbitannya, Sinar Harian.
“Kita ada reputasi. Niche kita adalah reputasi. Selama inipun orang tengok, sebelum Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, kita sudah berani dan bebas berbanding media cetak lain,” katanya.
Dalam wawacara dengan The Malaysian Insight, beliau turut mengakui Sinar Harian dapat menikmati kebebasan itu kerana tiada pesaing.
“Tetapi memandangkan kami sudah di hadapan, saya rasa kami ada kelebihan. Orang lain, dari tak berani jadi berani. Kita daripada berani dulu, kita akan jadi lebih berani. Itu bezanya,” katanya.
Tambahnya, itulah sahaja cara untuk kekal relevan dalam tekanan indidustri yang semakin mencabar pada masa ini.
Semenjak dua bulan sebelum pilihan raya, beliau memerhatikan jualan Sinar Harian meningkat sehingga 30% dan berharap trend tersebut akan dapat dikekalkan dengan laporan lebih berani.
Pengalamannya dalam bidang penerbitan selama ini mengajarnya untuk mengambil sikap sebegitu, katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
“Kita amalkan laporan adil, neutral dan tidak berpihak. Jadi dalam laporan kita selama ini, kita cuba pergi ke tahap maksimum.
“Kita tahu waktu itu kebebasan akhbar ini terbatas tetapi kita cuba pergi ke had sempadannya. Kita asak sehingga kita boleh asak. Apabila tiba ke batasnya, kita berhenti di situlah,” katanya.
Itulah yang membolehkan Sinar Harian bertahan selama 12 tahun dan diterima oleh Barisan Nasional (BN) dan juga PH, kata usahawan prolifik ini lagi.
Beliau turut berkongsi tiga akhbar popular yang diterbitkannya sebelum ini – Bacaria, Watan dan Eksklusif ditutup semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Dan individu itu juga muncul sebagai penyelamat untuk membebaskan akhbar daripada kawalan kerajaan BN semasa pentadbiran Najib Razak.
Gabungan parti pimpinannya, PH berjaya membentuk kerajaan dengan membawa janji perubahan – termasuk memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan akhbar sebelum ini.
Serentak dengan kemenangan itu juga, akhbar yang selama ini menyiarkan berita yang memihak kepada BN berubah arah.
Isu tabu seperti penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd berubah menjadi sajian utama dalam laporan media berkenaan selepas Najib tidak lagi menjadi perdana menteri dan disiasat.
“Kita tengok semua surat khabar sekarang sudah bebas. Dulu kita saja yang berani sebab dulu semua surat khabar memihak,” katanya.
Beliau memerhatikan, akhbar dikuasai BN juga wajar memihak kepada parti itu kerana parti pembangkang sebelum ini juga memihak kepada parti masing-masing.
“Suara Keadilan memihak (PKR), Harakah memihak PAS, Roket pun memihak DAP. Jadi bagi saya adil bila Utusan atau Berita Harian, memihak kepada BN kerana ia dikawal oleh Umno,” katanya. – 16 Julai, 2018.
Komen