KETIKA Najib Razak diheret ke mahkamah pada 4 Julai lalu, beliau merupakan antara puluhan individu yang paling lantang melaungkan slogan menyokong bekas perdana menteri itu.
Pada pandangannya, sosok yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa ke mahkamah itu bukanlah manusia biasa.
Sebaliknya, Najib pada pendapatnya seorang tokoh Islam yang menjadi mangsa fitnah.
Pelakon, Ellie Suriati memberitahu The Malaysian Insight, beliau kecewa kerana Najib dijatuhkan daripada puncak kuasa dan diperlakukan sedemikian rupa.
Malang sekali kerana ahli Parlimen Pekan itu digulingkan dan partinya Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada PRU lalu melalui “perang persepsi”, katanya.
“Apabila BN kalah PRU14 saya mencari punca kekalahan itu. Saya tahu tentang kempen anti Najib. Kalau kita hendak tumbangkan kerajaan, apa yang kita lakukan mestilah tumbangkan ketua.
“Di sini saya melihat apabila seorang pemimpin agama Islam berjiwa rakyat, yang pakar ekonomi, dijatuhkan dengan cara fitnah. Itu satu tindakan zalim dan menjadi satu kerugian untuk sebuah negara,” katanya.
Padahal, Najib seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan mempunyai prestasi baik selepas sembilan tahun mentadbir negara, tambahnya.

Selepas Najib dibawa untuk dituduh di hadapan hakim, beliau merupakan antara ahli Umno yang membuat kecoh di perkarangan kompleks mahkamah.
Mereka mendesak Peguam Negara Tommy Thomas yang baru hendak memulakan sidang akhbar bercakap dalam bahasa Melayu.
Kumpulan berkenaan yang berhimpun di lobi mahkamah menjerit dan melaungkan slogan “Melayu” berulang kali sehingga disuraikan polis.
Ditanya lanjut, pengarah filem “Penanggal” itu menafikan dakwaan beliau menyokong Najib kerana terhutang budi menerima bantuan atau “dedak” daripada kerajaan BN sebelum ini.
Malah, beliau juga hanya menyertai Umno pada Mei selepas pilihan raya umum dilangsungkan, tegasnya.
“Macam ada orang (lain) asal ada peruntukan pergi minta. Apa salahnya dah kerajaan (BN) bagi tapi kita tak macam itu,” kata ahli Umno cawangan Ampang itu lagi.
Beliau juga memandang mulia tindakan Najib yang sebelum ini banyak memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Kenapa saya tak (boleh) sokong Najib? Najib (walaupun) orang benci dia, dia bagi BR1M. Nelayan dapat RM300 sebulan. Tiap-tiap bulan tok siak, imam (semuanya dapat bayaran).
“JKKK (jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung) pun bergaji,” dakwanya lagi, yang membandingkannya dengan dasar bawah kerajaan baharu.
Ditanya mengenai dakwaan kehidupan mewah dinikmati Najib dan isterinya Rosmah Mansor, ini jawab Ellie: “Najib memang datang dari golongan shahbandar atau bangsawan. Dia memang sudah kaya.”
Beliau ditanya demikian memandangkan polis merampas barangan kemas dan wang tunai kediaman berkaitan Najib Razak yang dianggarkan berjumlah RM1.1bilion.
Selain beg tangan mewah, rampasan itu turut membabitkan 12,000 barang kemas termasuk 2,200 cincin, 2,800 anting-anting. Salah sebuah rantai leher itu berharga sekurang-kurangnya RM6 juta.
Ellie berkata Rosmah pula tidak lebih seperti seorang “mak cik” pada pandangannya.
“Saya jumpa dia di satu majlis pada satu jamuan raya, dia sama saja (seperti dulu),” kata anggota NGO Melayu Bangkit itu lagi.
Beliau turut ditanya mengenai kes saman yang dikemukakan seorang tukang emas Lubnan yang menuntut RM59 juta daripada Rosmah kerana gagal memulangkan barang kemas.
Sejumlah 44 unit barang kemas itu merupakan antara hasil rampasan pihak berkuasa dalam siasatan yang dimulakan ke atas Najib Mei lalu sebaik selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
“Mengenai kes dia kena saman tukang emas, bagi saya itu bagus kerana itu membuktikan barang kemas itu bukan milik dia,” kata Ellie.
Najib pada 4 April lalu didakwa dengan empat tuduhan – tiga melibat kesalahan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – 14 Julai, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Jerry wong · Ulasan