Susah senang, setialah bersama Umno, kata ketua wanita


Nabihah Hamid

Ahli Umno tidak boleh hanya bersama parti ketika zaman senang, tetapi meninggalkan parti apabila parti di ambang kesusahan, kata Ketua Wanita Umno baharu dilantik Noraini Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Julai, 2018.

AHLI Umno mesti setia bersama parti terutamanya ketika “zaman susah” sekarang ketika parti Melayu itu sudah hilang kuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu, kata ketua sayap wanitanya.

Ahli Umno tidak boleh hanya bersama parti ketika zaman senang, tetapi meninggalkan parti apabila parti di ambang kesusahan, kata Noraini Ahmad yang terpilih sebagai ketua Wanita dalam pemilihan parti lalu.

“Kita jangan bersama waktu senang sahaja. Sebagai sahabat, mereka yang keluar (Umno) saya kenal. Sahabat saya. Memang rapat,” katanya, merujuk kepada tindakan bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin keluar parti sehari selepas pemilihan Umno.

Noraini adalah bekas ketua sayap Puteri antara 2004 hingga 2008 manakala Mas Ermieyati menduduki jawatan sama antara 2013 hingga 2018.

“Walau apapun sebab mereka kata, pada saya tidak (boleh diterima). Kita senang bersama, dan bila susah bersama… lagilah (apabila susah) kita tunjukkan kesetiaan kita terhadap parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mas Ermieyati keluar Umno 1 Julai lepas kerana mendakwa kecewa dengan Umno yang tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berubah, berdasarkan keputusan pemilihan parti Melayu itu hujung minggu lalu.

Dalam pemilihan itu, Ahmad Zahid Hamidi terpilih sebagai presiden Umno yang baru, mengalahkan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan veteran parti Tengku Razaleigh Hamzah.

Mas Ermieyati, ahli Parlimen Masjid Tanah, adalah wakil rakyat persekutuan Umno yang ketiga keluar parti sejak PRU14, menjadikan Umno tinggal 51 kerusi di Dewan Rakyat.

Ahli Umno juga menunjukkan kesetiaan kepada Najib Razak yang kini berdepan tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa, kata Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Julai, 2018.

Pada 24 Jun lepas, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar Umno untuk menyokong kerajaan Pakatan Harapan sebelum disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian. 

Menurut Noraini, selain setia kepada parti, ahli Umno juga harus menunjukkan sokongan pada bekas presiden parti Najib Razak yang menghadapi tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya percaya inilah masa dalam keadaan kita susah, ini masa bersama dengan pemimpin kita. Kesetiaan ahli Umno memberi kekuatan kepada pemimpin kita.

“Jangan tengok dia sebagai Najib Razak tapi tengok dia sebagai bekas pemimpin Umno. Pemimpin kita, kami semua dan Umno itu satu parti memayungi bukan sahaja ahli Umno itu sendiri tetapi orang Melayu di Malaysia,” katanya, yang percaya Najib tidak bersalah sehingga dibuktikan di Mahkamah.

Najib dituduh di mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ditanya kenapa ahli Umno atau orang Melayu perlu setia kepada Umno, Noraini berkata, inilah satu-satunya parti yang mampu membela nasib orang Melayu di negara ini.

“Umno inilah saja parti yang paling bagus untuk Melayu dan tiada lagi parti sanggup. Kalau anda mahu perubahan dan beri idea baru inilah masanya sesuai bersama Umno.

“Tunjukkan kesetiaan kita, sebab kita bergerak ke depan ke arah di mana kita ada sasaran. Kita berada di sini (dalam Umno) bukan untuk diri kita sahaja, tapi untuk Umno dan anak bangsa,” katanya lagi.

Wanita Umno, yang merupakan sayap tulang belakang parti Melayu itu kini mempunyai keahlian hampir 1.2 juta orang.

Sebagai persediaan untuk menghadapi PRU15, Dr Noraini berkata Wanita Umno perlu menggunakan pendekatan berbeza dan perlu menguasai media sosial.

Ia bagi mengembalikan sokongan masyarakat sekaligus menyebarkan tawaran Umno sebagai pembangkang yang berkesan. – 11 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen