HAKIM Mohd Sofian Abd Razak wajar menarik diri daripada kes korupsi bekas perdana menteri dan presiden Umno Najib Razak kerana keyakinan rakyat sangat mustahak sekarang, kata peguam.
“Isunya bukan bias sebenar tetapi tanggapan yang ada potensi konflik kepentingan atau bias,” kata Pengarah Undang-Undang Fortify Rights Eric Paulsen hari ini.
Katanya, walaupun ahli keluarga hakim bebas untuk terlibat dalam aktiviti politik tetapi jika kes melibatkan hakim tersebut mempunyai potensi konflik kepentingan maka lebih baik hakim terbabit berundur.
“Keadilan perlu dilihat dilaksanakan dan sepatutnya tidak boleh ada apa sahaja persepsi yang kehakiman boleh dipengaruhi dalam kes berprofil tinggi seperti ini,” kata Paulsen.
Ditambah pula, apabila hakim tersebut memberikan “arahan sekatan bercakap” tentang kes kepentingan awam, yang mana disifatkan peguam sebagai “tidak biasa” dan “melanggar perlembagaan”.
Bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Prof Gurdial Singh Nijar bersetuju yang Sofian perlu berundur untuk mengelakkan salah tanggapan.
Apatah lagi, kes itu mempunyai implikasi politik, kata timbalan presiden Hakam itu.
Dilaporkan yang Sofian adalah adik lelaki Exco Kerajaan Pahang Mohd Soffi Abd Razak.
Soffi adalah exco pertanian Pahang dan Adun Benta. Beliau menang kerusi DUN Benta menggunakan tiket Barisan Nasional dengan 340 undi. Soffi, 61, juga adalah timbalan ketua Umno Bahagian Lipis.
Pada Mei, Najib memberitahu sebuah portal yang beliau “tidak mencuri” dan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadapnya adalah “pendakwaan politik”.
Semalam, Najib didakwa kerana salah guna kedudukan selaku pengawai kerajaan untuk menerima habuan RM42 juta untuk memberikan jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion diberikan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.
Peguam Fahri Azzat berkata walaupun Hakim Sofian tidak mempunyai hubungan persahabatan atau keluarga terus atau tidak dengan Najib, adiknya adalah ahli parti tertuduh dalam kes dihakiminya.
“Orang itu adalah pegawai berjawatan tinggi Umno dan Najib adalah presiden parti. Kerana itu, tidaklah berfaedah kepada sesiapa sahaja untuk kes itu bermula sedemikian (tanggapan),” kata Fahri. – 5 Julai, 2018.
Komen