NAJIB Razak mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sofian Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Beliau pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan dan satu tuduhan salah guna kuasa di bawah Akta SPRM tetapi kes dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan lanjut.
Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat SRC International melakukan pecah amanah melibatkan wang RM27 juta dari syarikat itu antara 24 hingga 29 Disember 2014. Beliau juga didakwa untuk pertuduhan kedua antara tarikh sama pecah amanah dana yang sama berjumlah RM5 juta.
Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa pecah amanah melibatkan wang SRC International sebanyak RM10 juta, antara 10 Februari dan 2 Mac 2015. Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Najib hanya menganggukkan kepala apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Pegawai mahkamah kemudian memaklumkan kepada hakim, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara.
Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas dibantu 12 orang pendakwa raya persekutuan. Pasukan pembelaan Najib pula diketuai peguam kanan Shafee Abdullah.
Selepas pengakuan tidak bersalah Najib, Thomas bangun memberitahu mahkamah yang pihak pendakwaan tiada bantahan sekiranya tertuduh hendak diikat jamin oleh mahkamah walaupun pertuduhan tersebut mengikut undang-undang bukan kesalahan yang boleh dibenarkan ikat jamin.
Beliau memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM4 juta tunai dengan dua penjamin dan tertuduh menyerahkan pasport.
Shafee membalas permintaan Tommy dengan mengatakan anak guamnya tidak akan melarikan diri dan cadangan ikat jamin itu sangat keterlaluan.
“Ada khabar angin jahat semasa yang anak guam saya ke Langkawi kononnya hendak melarikan diri ke luar negara.
“Dia tidak akan melarikan diri. Jumlah ikat jamin yang munasabah sepatutnya menunjukkan ikat jamin bukan untuk menghukum.
“Ikat jamin adalah untuk menjamin kehadiran di mahkamah. Tidak pernah ada tanda-tanda anak guam saya mahu melarikan diri,” kata Shafee kepada hakim. – 4 Julai, 2018.

Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan