Polis tidak hantar pulang Zakir Naik, agensi lain tidak pasti, kata ketua polis


Melati A. Jalil

Polis Malaysia tidak akan menghantar pendakwah kontroversi Zakir Naik balik ke India, kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, namun beliau tidak pasti apakah pihak berkuasa lain di Malaysia ada rancangan untuk berbuat demikian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2018.

POLIS Malaysia tidak akan menghantar pendakwah kontroversi Zakir Naik balik ke India, kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, namun beliau tidak pasti apakah pihak berkuasa lain di Malaysia ada rancangan untuk berbuat demikian.

Fuzi juga mengesahkan polis tidak ada rancangan untuk mengekstradisi Zakir, yang sudah tinggal sebagai penduduk tetap di Malaysia sejak lebih kurang dua tahun lalu.

“Bagi pihak polis, kita tidak ada tindakan untuk menghantar dia pulang, tetapi saya tidak pasti dengan agensi-agensi lain.

“Tetapi setakat yang saya tahu, tidak ada tindakan untuk hantar dia balik dalam masa sehari dua ini,” katanya kepada wartawan di Putrajaya. 

Semalam, The Malaysian Insight memetik laporan NDTV, sebuah stesen televisyen di India, yang mengesahkan dengan seorang pegawai polis di Bukit Aman, Zakir Naik akan dihantar pulang ke India malam tadi.

Laporan NDTV itu kemudian dinafikan oleh Ketua Polis Negara. Zakir melalui IRF turut mengeluarkan kenyataan, menyifatkan laporan NDTV itu sebagai “tidak berasas dan palsu”.

Zakir adalah orang buruan di India kerana ucapannya yang didakwa menghasut sehingga mencetuskan serangan ganas di Dhaka, Bangladesh pada 2016.

Beliau meninggalkan India pada 2016 dan bermastautin di Putrajaya sejak itu, walaupun ada bantahan daripada masyarakat India di Malaysia. Selain status penduduk tetap di Malaysia, beliau juga memiliki status yang sama di Arab Saudi.– 5 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen