Zakir Naik dihantar pulang ke India malam ini, lapor media


Media India melaporkan pendakwah kontroversi Zakir Naik akan dihantar pulang ke India hari ini, namun pendakwah itu menerusi satu kennyataan menyifatkan laporan itu 'tidak berasas dan palsu'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2018.

ZAKIR Naik akan dihantar pulang ke India hari ini oleh kerajaan Malaysia, lapor media di India, namun pendakwah kontroversi pemegang status penduduk tetap di negara ini menafikan laporan media tersebut.

Zakir tinggal di Malaysia sejak 2016 selepas kerajaan Najib sebelum ini mengurniakan kepada beliau taraf penduduk tetap di Malaysia sejak 2016.

Stesen penyiaran India, NDTV mengesahkan dengan pihak polis Malaysia pendakwah itu akan dihantar pulang malam ini.

Zakir bagaimanapun melalui pertubuhannya mengeluarkan satu kenyataan, menyifatkan laporan itu “tidak berasas dan palsu”.

“Berita tentang kepulangan saya ke India sesungguhnya tidak berasas dan palsu. Saya tiada rancangan untuk balik ke India sehingga saya rasa selamat daripada pendakwaan yang tidak adil.

“InsyaAllah, apabila saya rasa kerajaan adil dan saksama, saya tentu akan pulang ke tanah air,” katanya, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh IRF bagi pihak Zakir.

India mengkehendaki Zakir berhubung ucapannya yang didakwa menghasut sehingga mencetuskan serangan ganas di Dhaka, Bangladesh pada 2016.

Zakir meninggalkan India pada 2016 dan bermastautin di Putrajaya sejak itu, walaupun ada bantahan daripada masyarakat India di Malaysia. Selain status penduduk tetap di Malaysia, beliau juga memiliki status yang sama di Arab Saudi.

Ditanya oleh NDTV kenapa Zakir naik “diterima” di Malaysia, Raby dipetik berkata, “Itu kena tanya dengan kerajaan sebelum ini.”

Kerajaan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, membuka kepada pertukaran kerajaan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka.

Bekas perdana menteri Najib Razak, yang menerima kehadiran Zakir di Malaysia, hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan rasuah, melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau adalah pemimpin kanan pertama dari kerajaan sebelum ini yang dihadapkan ke mahkamah.

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Najib sebagai presiden Umno semalam disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dana yayasan milik keluarganya.

Seorang lagi pemimpin kanan Umno, Shahrir Samad juga disiasat oleh SPRM berkait sejumlah wang yang diterimanya dari Najib.

Umno dilihat dekat dengan Zakir, yang popular dalam kalangan masyarakat Islam, dan sering dilihat berjemaah di masjid di Putrajaya.– 4 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen