AGAK mengejutkan kelmarin, apabila veteran DAP, Lim Kit Siang memberi peringatan mengenai budaya balas dendam (witch hunt) yang disifatkannya perlu dielakkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kit Siang memberi amaran supaya amalan membalas dendam ketika melaksanakan tanggungjawab menyiasat semua skandal yang berkaitan institusi kerajaan, segera dihentikan.
Dalam bahasa mudah: Boleh siasat penyelewengan tapi jangan aniayakan sesiapa dengan sewenang-wenangnya. Kit Siang seperti menghidu sesuatu yang sedang berleluasa.
Siasatan, kata penasihat DAP ini, tidak boleh menyamaratakan kesalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dan diletakkan ke bahu pegawai-pegawai kanan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).
Kit Siang melihat dengan jelas isu-isu yang dikaitkan dengan pelbagai tekanan yang dialami pentadbir GLC yang dikaitkan dengan kerajaan BN.
Memang ada bukti, terdapat sejumlah kes penyelewengan. Namun, mengheret apa saja bentuk hubungan antara pentadbir GLC dengan BN sebagai satu jenayah salah laku, adalah amat melampau.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk khusus pada persekitaran GLC hari ini. Katalisnya bukan sekadar senarai syarikat GLC Top 21, tapi keseluruhan keadaan. Secara relatifnya, ia melangkau isu kumpulan 53 CEO yang dikaitkan dengan klip lagu Hebat Negaraku yang dianggap pro BN.
Apa yang kita risau, fokus terhadap isu-isu profil tinggi ini dibuat secara pukul rata di segenap peringkat syarikat dan agensi milik kerajaan. Di Jabatan Perdana Menteri saja, terdapat 93 agensi. Kini tinggal 55 buah. Itu belum lagi ratusan GLC lain di 26 kementerian.
Keadilan
Balas dendam tidak memungkinkan keadilan dicapai. Ia mencipta kemusnahan teruk pada perkhidmatan GLC apabila kuasa tindakan dipergunakan tanpa kawalan. Hari ini, trend balas dendam mudah diekploitasi dengan hanya menyebut kata-kata hikmat: “Ini arahan orang atasan!”
Orang yang menerima mandat melaksanakan semakan atau siasatan di GLC, boleh saja tersalah tingkah dengan melakukan tindakan dan memanipulasi kuasa dan bertindak di luar batasan.
Adalah tidak wajar, seorang yang pernah berswafoto dengan Najib Razak atau Ahmad Zahid Hamidi sebelum PRU14 dituduh sebagai musuh kerajaan PH. Atau, hanya kerana berada di majlis serba biru kendalian BN boleh dianggap bersalah dan menjadi ‘penyokong politik’ yang tidak diperlukan lagi.
Witch hunt kini menjadi wabak yang menular. Walaupun belum parah, ia menampakkan tanda. Malah, pegawai kanan yang diberikan tugas dalam penyusunan semula GLC, boleh saja melaksanakan ‘pembersihan’ dengan menyebut: “Anda perlu pergi kerana kesalahan politik masa lalu.”
Ini sikap yang menciptakan ketakutan. Ketakutan bukan kepada perdana menteri, tetapi terhadap orang-orang yang memasuki GLC dan mengatakan mereka membawa arahan atasan untuk kerja-kerja pembersihan.
Kit Siang mungkin tidak semata-mata melihat isu kepimpinan dalam ranking tertinggi GLC. Harapnya, veteran DAP ini mendengar akan bahaya amalan ini yang menuju luar kewajaran sekiranya tidak dikawal.
Hati-hati
Dalam keghairahan membersihkan segala kekotoran rasuah atau ketirisan, tahap berhati-hati perlu dipertingkatkan. Ini penting bagi mengelakkan wujud keghairahan melampau pegawai kanan yang diberi kuasa melaksanakan siasatan.
Selepas PRU 14 lalu, ratusan agensi kerajaan dipantau. Justeru, ingatan Kit Siang ada impaknya.
“Jangan sampai kerajaan PH dilihat membalas dendam terhadap semua orang. Malah, terhadap mereka yang berada di persimpangan atas apa yang dilakukan kerajaan dahulu kepada institusi-institusi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menegaskan, tindakan membalas dendam umpama menggali ‘dua lubang kubur’ dan menjadikan PH hanya mengikut jejak langkah BN.
Seperti kebetulan, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hari pertamanya bertugas, turut melafazkan kebimbangan yang sama.
Trajektorinya tetap senada: Elakkan tindakan balas dendam. Semua tindakan haruslah melihat ke depan.
Soal jenayah rasuah dan ketirisan menang wajar dibenteras. Namun, ia mesti dilakukan demi mencari kebenaran. Cuma hadnya, tindakan ini mesti dipisahkan dengan perbuatan membalas dendam.
Apatah lagi, tindakan yang dilaksanakan dengan sewenang-wenang menyebut: “Ini arahan kerajaan!”
Adalah wajar, kerajaan PH meneliti semula operasi ini. Ia harus bermula dengan proses mencari kebenaran demi melangkah ke hadapan. Bukan peluang bagi sesiapa saja melakukan tindakan balas dendam. – 4 Julai, 2018
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mohammad Simon Adam Sikat · Ulasan