MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau tidak mahu mencari kesilapan pentadbiran terdahulu dalam kementerian itu untuk membalas dendam semata-mata.
Menteri termuda Malaysia itu berkata beliau juga mahu prestasinya diukur dengan betul dan bukannya dikaitkan dengan pendedahan skandal kerajaan lalu.
“Saya tidak mahu pentadbiran KBS (Kementerian Belia dan Sukan) baharu ini diwarnakan atau dicorak dengan budaya balas dendam di mana untuk menyerlahkan keupayaan saya, saya menjatuhkan kebaikan lepas dengan hanya menonjolkan kesilapan yang mungkin sedia ada,” katanya.
Beliau memberi jaminan itu susulan teguran veteran DAP, Lim Kit Siang semalam bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh dilihat membalas dendam ke atas pentadbiran Barisan Nasional.
Teguran Lim itu mengulas tindakan Putrajaya yang memecat berbelas orang ketua pegawai eksekutif dan perkhidmatan awam setakat ini.
Syed Saddiq terdahulu ditanya sama ada kes penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta melibatkan pegawai kementerian itu akan dibuka dan disiasat semula.
Ahli Parlimen Muar itu enggan mengulas lanjut mengenainya namun menegaskan ia akan disiasat sekiranya terdapat salah laku.
“(Saya tak mahu) disalah tafsir (dalam mendedahkan skandal kerajaan terdahulu), kena hati hati. Kalau ada salah laku yang lepas ia tetap akan disiasat,” katanya lagi.
Kes itu menjadi tumpuan utama pada 2016 apabila seorang pegawai KBS serta lapan orang dari syarikat kontraktor kementerian itu disiasat Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan media waktu itu menyebut, pegawai KBS tersebut disyaki mengarahkan satu agensi kementerian itu membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi program yang tidak wujud.
Syed Saddiq juga berkata beliau akan menggunakan tempoh 100 hari pertama sebagai menteri untuk memartabatkan sukan di Malaysia dan berdialog dengan pakar untuk mencari jalan penyelesaian.
“Untuk kendalikan (isu) sukan saya perlu berdialog dengan pakar-pakar sukan. Saya mahu bincang dengan penjawat awam dan tak mahu bertindak tanpa pertimbangan mereka yang berpengalaman.
“Kita tak nak jadi kementerian syok sendiri,” katanya lagi yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri semalam dan memulakan tugas di pejabat menteri di Putrajaya hari ini. – 3 Julai, 2018.
Komen