Ini bukan Kabinet balas dendam, kata Kit Siang


KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dilihat sebagai membalas dendam apabila memecat ketua-ketua pegawai eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan perkhidmatan awam, sebaliknya berdamai dan terus bergerak ke depan, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam selepas Kabinet penuh didedahkan, Lim mengingatkan kerajaan PH supaya tidak memberi sebarang alasan kepada sesiapa pun untuk berfikir PH akan berusaha menyingkir pemimpin-pemimpin dari kerajaan terdahulu. 

“PH tidak boleh membiarkan sesiapa pun berfikir yang ia sedang mencari apa saja sebab malah yang sekecil-kecilnya untuk menyingkir ketua-ketua dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menggantikan mereka dengan orang yang sehaluan dengan PH.

“PH berbeza dan perlu menunjukkan yang ia berbeza dengan BN,” kata Lim.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengingatkan pemimpin PH bahawa pakatan itu telah berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan amalan pilih kasih dan penindasan.

“Rakyat Malaysia sudah menyaksikan bagaimana rejim BN menyalahguna kuasa ke atas orang yang tidak bersalah - yang kebanyakannya hari ini berada dalam kerajaan- menjadi mangsa.

“Ramai juga menjadi mangsa hanya kerana berada pada tempat dan waktu yang salah.

“Walaupun kerajaan Pakatan Harapan perlu jalankan siasatan, menyingkirkan dan mengheret mereka yang didakwa bersalah ke muka pengadilan seperti dalam skandal 1MDB, Felda dan Tabung Haji – kita perlu berhati-hati.

“Jangan sampai dilihat membalas dendam terhadap semua orang – mungkin di kalangan mereka berada di persimpangan atas apa yang dilakukan kerajaan dahulu kepada institusi-institusi ini,” kata Lim.

Lim berkata ramai yang berada dalam perkhidmatan awam dan GLC merupakan orang yang jujur, berdedikasi dan mempunyai integriti.

“Kita tidak boleh menghukum semua orang atas kesalahan yang sama,” kata Lim. – 2 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen