Ibu bapa gesa kerajaan terima modul khas atasi gejala buli


Nabihah Hamid

Pelajar perlu diberi kesedaran mengenai kesan buruk sekiranya terlibat dalam kegiatan buli terutamanya dari segi undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2017.

MENYIFATKAN kes buli semakin membimbangkan, ibu bapa mahu kerajaan mengambil langkah segera menangani masalah buli di kalangan pelajar.

Popular dengan gerakan kempen anti buli “You Touch You Go” , ibu mangsa buli Dr Nurul Kharmila Abdullah kini sedang merangka modul bagi mencegah buli dan mahu memanjangkannya kepada kerajaan.

Pensyarah dan pakar dalam bidang perubatan serta forensik itu berkata, modul tersebut bakal merangkumi pelbagai aspek termasuk panduan program pemulihan pelajar.

“Buat masa ini rancangan kami mahu mengadakan kempen kesedaran peringkat sekolah tentang buli dan serangan fizikal. Saya dan kumpulan kami akan cuba membawanya kepada pihak kementerian. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak kementerian.

“(Modul) menekankan pendidikan kerohanian dan moral kepada pelajar selain menuntut pihak berwajib mengenakan tindakan tegas terhadap pesalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kharmila dan beberapa keluarga mangsa buli aktif di media sosial melancarkan kempen cegah buli yang menggesa sekolah, terutama berasrama penuh membuang pelajar bersalah serta-merta.

Kempen tercetus selepas kejadian menimpa anaknya pada 23 Mei yang menjadi mangsa buli selepas teruk dipukul 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak.

Pengetahuan hukuman pembuli 

Beliau turut menegaskan penting memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kesan buruk sekiranya terlibat dalam kegiatan buli terutamanya dari segi undang-undang.


Pengalaman mempunyai anak dibuli membuatkan Dr Nurul Kharmila Abdullah aktif terlibat dalam pergerakan anti buli dan berharap kerajaan memandang serius masalah ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Julai, 2017.

“Untuk kempen dan ceramah kesedaran antaranya menerangkan jenis buli, apa kesan fizikal dan psikologi (terhadap pelajar) untuk jangka pendek dan panjang serta membentangkan kes buli (case study).

“Dalam modul kita hendak masukkan juga input undang-undang dan menerangkan di bawah seksyen mana mereka yang membuli dan memukul ini boleh didakwa. Apa hukuman yang boleh dikenakan.

“Sekurang-kurangnya ia akan bagi pelajar sedar dan saya harap mereka beringat tetapi yang utama sebenarnya adalah untuk menguatkan rohani dan moral,” katanya lagi.

Ibu anak empat itu merujuk beberapa hukuman bakal dikenakan kepada dua kes buli yang menyebabkan kematian.

Antaranya kejadian menimpa pelajar Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman pada 11 Jun lalu yang mati diseksa sekumpulan pelajar universiti sama.

Susulan itu, lima kadet didakwa membunuh manakala seorang lagi bersubahat berdepan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Manakala pada 19 Jun, empat remaja didakwa membunuh T Nhaveen, 18, di Mahkamah Majistret George Town.

“Saya secara peribadi sangat sedih dengan perkembangan terbaru kes buli-serangan fizikal pada Nhaveen dan  Zulfarhan. Ia seolah-olah pelaku tidak ambil pengajaran daripada kes sebelum ini. Kesedihan dan kekecewaan menyelubungi saya.

Pencegahan awal

Sementara itu, mantan presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyediakan modul untuk mengecam ciri-ciri pembuli.

Hawa Osman shows a picture of Zulfarhan Osman, whom she will remember as being 'always helpful and independent'.  – The Malaysian Insight pic by Nazir Sufari, June 4, 2017.

Dr Mohamad Ali Hassan berkata pencegahan awal perlu dibuat bagi membendung kes buli yang dilihat semakin mengganas kalangan belia.

“Kementerian Pendidikan perlukan satu modul untuk mengenal pasti sistem pengenalan awal, dan pengecaman awal,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Tambahnya, modul tersebut boleh membantu guru dan ibu bapa mengenai ciri pelajar yang cenderung membuli. 

“Apabila sudah kenal pasti lebih awal, kita boleh mencegah dan memberikan program pemulihan. Saya ingat (kes buli) sudah tahap serius kerana ia bukan sahaja melibatkan fizikal, emosi tetapi herdik-mengherdik dan sabotaj.

“Saya kira kes buli sudah tahap sampai keganasan hingga menjadi kes jenayah. Maka kita perlu memberikan pendekatan pada pelajar sama ada lembut atau pun keras,” katanya lagi.

Sependapat dengannya, ibu anak tiga, Amila Daud berkata pihak sekolah lebih sensitif tentang perubahan sikap pelajar seperti kemurungan.

“Ini disebabkan kebanyakan pelajar yang dibuli tidak mahu berkongsi masalah dengan kawan-kawan apatah lagi dengan guru.

“Buli boleh dihindarkan dengan penerapan pendidikan agama, moral serta sivik,” kata guru tusyen sambilan itu.

Statistik KPM tahun lalu mendapati kes salah laku kalangan pelajar di sekolah menurun daripada 0.08% pada 2013 kepada 0.06% pada 2015.

Rekod menunjukkan kes buli di sekolah pada 2012 sebanyak 4,159 kes, 2013 (4,120 kes), 2014 (2,825 kes) dan 2015 (2,968 kes).

Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid ketika mengulas kes buli menegaskan tindakan lebih keras seperti gantung serta-merta akan dilaksanakan. – 2 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen