PAKATAN Harapan akan menghapuskan Akta Cukai Pelancongan jika mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kuching, Sarawak hari ini.
Cadangan itu akan dibentangkan pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan akan datang, katanya.
“Kegagalan Putrajaya juga kelihatan akibat penarikan Kerajaan Negeri Sarawak daripada Lembaga Pelancongan Malaysia. Ini adalah petanda politik yang buruk buat Barisan Nasional (BN),” kata Wan Azizah.
Presiden PKR itu berkata, parti itu menolak Akta Cukai Pelancongan seperti yang sedia ada selepas mengkaji semula respon daripada pengusaha industri pelancongan dan perhotelan, analisa pakar, orang awam dan pimpinan PKR termasuk pemimpin PKR negeri.
“Malah, Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak sewajarnya membangkitkan kesedaran rakyat Sarawak terhadap cukai pelancongan ini semasa perbahasan rang undang-undang ( RUU) ini pada sidang Parlimen yang lalu,” katanya.
Akta Cukai Pelancongan diluluskan secara “tergesa-gesa” di Parlimen jam 4:57 pagi pada 6 April, kata Dr Wan Azizah. Rang undang-undang itu adalah enam akta terakhir yang diluluskan dalam sesi penetapan rekod 20 jam itu.
“Mereka sepatutnya bangkit, memang sepatutnya mereka lakukan kerana mereka adalah pihak berkepentingan yang mewakili Sarawak,” katanya.
Para pemimpin Pakatan Harapan berkata mereka menentang rang undang-undang itu.
Hansard Parlimen tidak merekodkan bagaimana ahli Parlimen mengundi.
Dr Wan Azizah hari ini berkata, beliau tidak hadir semasa mengundi kerana sakit pada hari itu.
Akta Cukai Pelancongan itu ditetapkan untuk dikuatkuasakan pada 1 Julai tetapi ditangguhkan pada 1 Ogos.
Rakyat Malaysia perlu membayar sebanyak RM20 untuk penginapan hotel lima bintang dan RM15 untuk empat bintang, yang dikenakan untuk setiap bilik, untuk satu malam. Pelancong asing akan dikenakan kadar yang sama, serta RM10 untuk tiga bintang, RM5 untuk dua bintang dan RM2.50 untuk penginapan yang tidak diberi nilai untuk setiap bilik untuk satu malam.
Minggu lepas, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata perbincangan mengenai pelaksanaan cukai masih berterusan.
“(Ia) sekali lagi menunjukkan Putrajaya tidak sensitif kepada beban ekonomi yang dihadapi rakyat sekarang,” kata Wan Azizah.
“Malah, kekalutan yang timbul daripada pengumuman dan kemudiannya perlaksanaan penangguhan cukai ini oleh Nazri Aziz akibat bantahan daripada Kerajaan Negeri Sarawak membuktikan tiada penyelarasan dan perancangan rapi sebelum penguatkuasaan akta ini diumumkan.
“Insiden yang berlaku sekitar pengumuman pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan mesti menjadi pengajaran kepada Kementerian Pelancongan dan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata semua rang undang-undang perlu diberi masa yang mencukupi untuk “proses perjumpaan dan rundingan yang berkesan” dengan semua pihak berkepentingan dan mesti melalui jawatankuasa Parlimen yang khusus dan bukannya dibahaskan secara tergesa-gesa dan diluluskan seperti yang berlaku pada awal pagi 6 April lalu.
Cukai pelancongan menyebabkan pertikaian antara Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, yang meminta penangguhan pada bulan lepas.
Sejurus selepas itu, Sarawak mengumumkan pada hari berikutnya ia menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia dengan segera, mengatakan berlaku pertindihan peranan dan fungsi Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.
Kerajaan Persekutuan menyatakan pendiriannya untuk memperoleh keuntungan sebanyak RM655 juta daripada cukai itu. - 1 Julai 2017.
Komen