MENTERI pelancongan dan kebudayaan hari ini menyelar menteri Sarawak kerana mencadangkan Putrajaya menangguhkan pelaksanaan cukai baharu pelancongan.
Nazri Aziz berkata Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga menteri pelancongan, kesenian, kebudayaan, belia dan sukan Sarawak tidak faham teras penting perkara itu ketika mengatakan cukai seperti itu sepatutnya hal negeri.
“Karim hanya menteri baharu, dia tak sepatutnya berlagak. Jika dia tidak faham apa-apa dia patut jumpa saya. Saya juga menteri Barisan Nasional,” katanya.
Menteri Sarawak itu mencadangkan cukai pelancongan yang akan dilaksanakan pada 1 Julai, ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.
“Kebanyakan hotel lima bintang ada di Semenanjung, dan 75% hotel berbeza taraf berada di sana. Hanya 25% ada di Malaysia Timur.
“Hasil kutipan daripada cukai pelancongan sepatutnya dikongsi dengan Sabah dan Sarawak. Mereka juga berhak,” kata Karim.
Malaysia akan mengenakan cukai pelancongan sebanyak RM2.50 hingga RM20 bagi setiap bilik, setiap hari untuk penginapan hotel, bermula 1 Julai.
Cukai baharu itu akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam. – 11 Jun, 2017.
Komen