KEPUTUSAN pilihan raya umum (PRU) akan datang mungkin sangat bergantung pada bagaimana berkesannya Pakatan Harapan (PH) memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai isu 1MDB yang rumit dan cara ia menjejaskan kehidupan mereka, kata penganalisis.
Walaupun jelajah pembangkang ke seluruh negara untuk membangkitkan kesedaran umum mengenai skandal terbesar negara itu sesuatu yang baik, penganalisis berkata pemimpin perlu lebih lagi, bukan hanya memegang mikrofon dan bercakap mengenai 1MDB.
Profesor Ahmad Atory Hussain berkata jelajah untuk memberi penjelasan tentang 1MDB sebelum PRU mungkin memberi kebaikan kepada PH, kerana rakyat Malaysia kecuali golongan menengah dan atasan, secara umumnya belum jelas mengenai skandal kewangan itu dan akibatnya.
“1MDB itu besar. Tidak ada isu lebih besar. Saya percaya jika ada isu yang boleh menjatuhkan BN, inilah dia yang sehingga boleh menyebabkan (ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang dan (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad bekerjasama.
“Tetapi ramai tidak faham skandal itu jadi PH perlu menggunakan masa mereka untuk mengulangi segala-galanya yang pernah mereka cakap mengenai 1MDB. Ia akan membolehkan isu itu terus hidup,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia yang sudah bersara itu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata jelajah itu akan menjadi “usaha baik” untuk membangkitkan isu yang tidak dilaporkan di media perdana.
Katanya, ini akan menjadi peluang PH untuk membawa maklumat kepada masyarakat di luar bandar dengan penembusan Internet yang rendah.
Penganalisis membuat ulasan berhubung pengumuman PH semalam yang mereka akan mengadakan jelajah di seluruh negara bagi menjelaskan isu berkaitan syarikat pelaburan negara itu.
Ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata gabungan itu akan menjelaskan tentang saga 1MDB kepada pengundi susulan tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang diselewengkan daripada 1MDB.
Dr Wan Azizah berkata jelajah sepanjang dua bulan itu akan bermula pada 6 Julai di Dewan JKKK Penaga, Kepala Batas pada 9 Malam dan berakhir dengan satu perhimpunan pada September.
Halangan bahasa
Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Mohammad Redzuan Othman PH perlu menterjemahkan perkara 1MDB yang sangat rumit kepada bahasa yang mudah difahami.
Katanya, mereka yang bercakap perlu mampu memberi penjelasan dalam bahasa orang biasa dan menerangkan bagaimana skandal itu berkait dengan kebimbangan masyarakat umum, seperti kenaikan harga barang, kos sara hidup dan kadar pengangguran.
“Ketika jelajah itu, mereka tidak perlu bercakap mengenai perkara teknikal dalam isu 1MDB. Orang kampung tidak faham apa benda saman sivil DoJ itu.
“Mereka akan hanya faham jika PH boleh kaitkan skandal itu dengan kesukaran rakyat. Mereka akan hanya faham bila mereka lihat bagaimana 1MDB menjejaskan kehidupan mereka,” katanya.
Bukan mudah untuk menjelaskan tentang 1MDB dan bagaimana ia mendapatkan dana, melaburkan wang, berlaku kerugian berbilion ringgit sementara wangnya didakwa digunakan untuk membeli hotel, hartanah mewah, lukisan, berlian, jet, kapal dan banyak lagi.
Dan ada tiga saman sivil difailkan DoJ untuk mendapatkan semula aset berkenaan.
Hisomuddin berkata penganjur jelajah PH perlu berfikir secara berhati-hati bagaimana hendak menggunakan skandal itu untuk memujuk penyokong Barisan Nasional bertukar pihak dan akhirnya mengundi pembangkang.
“Jika jelajah itu hanya sekadar bergantung pada pemimpin PH beri ceramah, ia tidak akan mampu mendapatkan penyokong menjelang PRU,” katanya.
Hisomuddin berkata terdapat juga risiko yang jelajah itu mungkin menarik hanya penyokong atau mereka yang bersimpati dengan PH, bukannya dari BN, yang perlu mereka yakinkan.
“Mungkin penyokong tegar mereka sendiri akan memenuhi tempat jelajah. Isu 1MDB ini masih belum sampai ke peringkat pengundi yang akan membuat bantahan keras dan tekanan terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sejak akhir-akhir ini juga, acara ceramah PH tidak penuh kehadirannya kerana orang ramai sekarang mempunyai banyak cara lain untuk mendapatkan maklumat.
Dari pintu ke pintu
Atory berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai laman media sosial dan program seperti yang dijalankan institut polisi Invoke Malaysia, yang menyebarkan maklumat mengenai isu semasa.
Bagaimanapun, beliau mengakui komunikasi sedemikian juga tidak mempunyai keberkesanan apabila ia sampai kepada penduduk luar bandar, yang berkemungkinan tidak menggunakan telefon pintar.
Beliau berkata jika pendekatan kontemporari tidak berfungsi, pembangkang perlu menggunakan kaedah yang lebih tradisional, seperti pergi dari pintu ke pintu.
“Mereka mungkin perlu melakukannya sebagai usaha terakhir untuk menjangkau orang yang benar-benar tidak faham tentang 1MDB.”
Atory berkata parti komponen PH Amanah membuat panggilan rumah di pantai timur dengan menyewa bas dan lori untuk membawa ahlinya ke kawasan kampung.
“Kaedah ini membantu Amanah mengembangkan jangkauan mereka. Mereka tidak perlu menyewa dewan komuniti untuk bertemu dengan pengundi.
“Ia berkesan. Mereka semakin popular di bahagian Terengganu dan Kelantan,” kata bekas pensyarah itu.
Perubahan pelan permainan
Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Faisal S. Hazis ragu-ragu sejauh mana PH berharap untuk menggunakan isu 1MDB.
Beliau berkata ia tidak akan berfungsi pada pengundi yang menyokong BN kerana mereka percaya apa yang BN beritahu iaitu skandal itu direka pasukan negara asing yang bekerja dengan pembangkang.
Menggunakan Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lepas sebagai contoh, Faisal berkata pengundi masih memilih BN untuk mentadbir negeri itu, walaupun di sebalik semua percakapan mengenai 1MDB dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Terdapat dua isu besar mengenai hal itu, tetapi pengakhirannya BN Sarawak menyatukan penguasaannya dan menang dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya negeri lalu.
“Terdapat faktor Adenan (Satem) tetapi apa yang benar-benar menjejaskan keputusan pilihan raya ialah kegagalan pembangkang menawarkan gabungan alternatif yang kuat,” katanya merujuk kepada bekas ketua menteri Sarawak yang popular di kalangan rakyat.
Faisal berkata masalah keperluan asas masih menjadi kebimbangan utama di kalangan pengundi, berbanding skandal 1MDB, seperti terbukti dalam setiap tinjauan dijalankan pengundi tempatan seperti Pusat Merdeka dan IDE, dan yang ditugaskan parti politik.
Beliau berkata bagi memenangi penyokong BN, terutama di kawasan luar bandar, parti pembangkang perlu beralih fokus dan memberi penekanan kepada membina gabungan kuat dengan manifesto yang baik dan dasar konkrit, jadi PH boleh tampil sebagai alternatif berdaya maju kepada BN.
Hisomuddin juga memberi amaran jika PH gagal menyelesaikan masalah dalamannya dengan baik dan menunjukkan pengundi parti komponennya bekerjasama dengan baik, ia boleh menangkis semua kebaikan yang boleh didapati melalui jelajah itu. – 29 Jun, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan