Pembangkang anjur himpunan bantah skandal 1MDB selepas saman terbaru DoJ


Amin Iskandar Melati A. Jalil

Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) bersama pemimpin Pakatan Harapan bercakap pada sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 Jun, 2017.

PARTI pembangkang akan mengadakan perhimpunan rakyat pada September sebagai protes terhadap skandal 1MDB susulan langkah terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3bilion) yang didakwa dicuri daripada syarikat sarat hutang itu.

Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan 1MDB yang akan menyelenggarakan program itu.

“Jelajah ini akan dijalankan ke seluruh negara dan berakhir dengan perhimpunan rakyat pada September,” katanya yang juga presiden PKR itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata jelajah ke seluruh negara itu bertujuan memberikan penerangan terkini isu skandal penyelewengan dana 1MDB.

Jelajah pertama akan diadakan pada 6 Julai depan di Dewan JKKK Penaga Kepala Batas bermula jam 9 malam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menggesa semua parti pembangkang termasuk PAS untuk mengetepikan segala perbezaan dan bekerjasama membawa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.

Wakil PKR, DAP, Amanah dan Bersatu turut hadir pada sidang media itu.

Parti Warisan dari Sabah yang turut bersetuju dengan perkara itu bagaimanapun tidak menghantar wakil mereka.

Ketika ditanya berkenaan perhimpunan yang akan diadakan, Dr Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh enggan mengulas lanjut dan hanya berkata ia “perhimpunan aman”.

“Kami perlu memohon permit polis terlebih dulu,” katanya.

Selain itu, katanya mereka mengulangi desakan agar Perdana Menteri Najib Razak mengadakan sidang tergempar di Dewan Negara secepat mungkin dan membentangkan Kertas Putih berkenaan 1MDB.

“Kami akan membuat laporan bersama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) serta menuntut supaya kertas siasatan dibuka semula,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kenyataan sesetengah menteri tindakan terbaru DoJ itu bermotifkan politik atau campur tangan asing tidak mencukupi untuk menangkis segala persoalan ditimbulkan.

“Kami menggesa agensi berwajib seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk membuka kembali kertas siasatan.

“Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya sembilan negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun kertas siasatan ditutup semua agensi berwajib Malaysia,” katanya. – 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen