Dengar suara akar umbi kalau mahu Umno kuat semula, kata Azalina


Nabihah Hamid

UMNO perlu belajar mendengar suara akar umbinya kalau mahu kembali berkuasa dan memenangi Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, kata seorang pemimpin kanannya.

Ahli Majlis Tertinggi Azalina Othman berkata, sikap “hanya ketua yang betul” adalah perkara utama yang perlu diubah selepas kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Untuk itu, katanya, akar umbi Umno perlu diberikan ruang dan platform untuk bersuara dan suara mereka tidak harus disekat.

“Kalau hanya Majlis Tertinggi yang buat keputusan, saya rasa bolehlah tetapi suara akar umbi kena ada formula yang kita boleh pakai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada pemilihan parti hujung minggu ini, Azalina bertanding mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Tegas Azalina, pemimpin Umno tidak lagi boleh berlapang dada merasakan hanya kerana mereka ketua, pandangan mereka saja betul kerana mereka berkuasa.

“Kekuatan Umno daripada sejarahnya ialah kekuatan ahli-ahlinya,” katanya.

Beliau memberikan contoh pandangan Umno di akar umbi dalam soal pemilihan calon pilihan raya, yang adakalanya tidak dihiraukan oleh pimpinan di pusat.

“Macam mana pun pendekatan saintifik yang kita pakai, cawangan itu boleh jadi penentu (pemilihan calon) sebab kita tak boleh nafi kekuatan parti itu kekuatan cawangan, di peringkat pusat daerah mengundi.

“Kalau mereka tak nak (calon tertentu), tak naklah. Kalau mereka hendak, maknanya mereka hendaklah.

“Jadi bagi saya, kalau Umno hendak kembali berkuasa, pendekatan kena berubah. Akar umbi kena menjadi tunjang kepada perjuangan, bukan saja ahli parti tetapi rakyat menyeluruh.

“Suara rakyat juga perlu didengar,” kata bekas ketua Puteri Umno yang pertama itu antara tahun 2002 hingga 2004.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar Umno dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan.

Beliau sejak pilihan raya umum 2013 tidak diterima oleh Umno Bahagian Bagan Serai kerana bukan calon pilihan bahagian itu, sebaliknya dicalonkan kerana dikatakan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan tertinggi Umno.

Dr Noor Azmi berkata beliau keluar Umno kerana sakit hati disabotaj dan dipinggirkan oleh Umno di akar umbi.

Pengerusi Umno Perak, Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun menempelak ahli Parlimen itu dan berkata, mana mungkin ada sabotaj dalaman Umno apabila Dr Noor Azmi menang dua kali pilihan raya di kawasan Bagan Serai.

Pada PRU13, Dr Noor Azmi menang dengan majoriti 1,140 undi, mengalahkan calon PKR Dr Mohd Noor Manuty dan seorang calon bebas. Beliau mempertahankan kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti tipis 172 undi.

Umno Bahagian Tambun juga berdepan masalah sama, menolak pencalonan semula bekas menteri Husni Hanadzlah pada PRU14 walaupun digugurkan daripada Kabinet Najib Razak pada akhir Julai 2016. Husni kalah kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu. – 27 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen