Kenapa ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno?


Nabihah Hamid Mohd Farhan Darwis Kamles Kumar

Tindakan ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno dan menyatakan kesetiaan kepada Pakatan Harapan memberi kesan terhadap pembangkang kali pertama itu. Dr Noor Azmi Ghazali adalah ahli Parlimen pertama keluar gabungan pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2018.

AHLI Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali yang keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) semalam sememangnya sudah ditolak pimpinan parti di kawasannya sendiri, kata pemimpin Umno Perak, menambah yang kejadian itu tidak akan merugikan parti.

Malah wakil rakyat penggal kedua itu dilihat mahu menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi “menyelamatkan periuk nasinya”, kata sumber.

Sumber juga memberitahu The Malaysian Insight, Dr Noor Azmi dapat jadi calon untuk dua kali pilihan raya kerana hubungan rapat beliau dan adiknya dengan bekas perdana menteri Najib Razak, dan bukannya kerana dipilih akar umbi parti.

Dr Noor Azmi, 58, adalah abang kepada Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Noor Azlan Ghazali, yang dilaporkan menyertai kempen Pilihan Raya Umum ke-14 adiknya itu.

“Dia memang sudah bermasalah dengan Umno Bahagian Bagan Serai, dan tiada jawatan pun di sana. 

“Walaupun bahagian tolak dia sebagai calon sebelum ini tetapi dia dapat jadi calon sebab baik dengan pimpinan tertinggi. 

“Di peringkat bahagian memang orang sudah pinggirkan dia. Lagipun, dia tak pernah bawa nama Umno pun sebelum ini,” kata sumber Umno Perak yang enggan namanya didedahkan.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, adik ahli Parlimen itu pernah juga disebut-sebut bakal bertanding di Bagan Serai pada Pilihan Raya Umum ke-13, atas kehendak Najib.

Cadangan bekas presiden Umno itu bagaimanapun tidak diterima baik oleh ahli-ahli Umno di akar umbi tetapi Najib kemudiannya memilih Dr Noor Azmi dimajukan sebagai calon BN.

Doktor perubatan itu menang PRU13 dengan majoriti 1,140 undi, mengalahkan calon PKR Dr Mohd Noor Manuty dan seorang calon bebas. Beliau mempertahankan kerusi itu dalam PRU14 dengan majoriti tipis 172 undi.

Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan sudah lama tidak disukai akar umbi Umno Bahagian Bagan Serai, malah beliau juga dipulaukan dan tidak dijemput menyertai apa sahaja majlis, mesyuarat parti kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2018.

Tetapi selepas PRU13, Dr Noor Azmi yang tidak memegang jawatan parti, tidak lagi dipedulikan oleh Umno bahagiannya sendiri. 

Mereka tidak menjemputnya ke majlis-majlis anjuran parti. Mereka tidak meletakkan namanya pada poster acara. Mereka malah tidak menyediakan kerusi untuknya dalam majlis, kata sumber. 

Apabila Umno bahagian mengadakan mesyuarat pun, beliau yang jadi wakil rakyat parti yang sama di kawasan itu, tidak diajak sama, tambah sumber.

“Mereka sengaja susahkan hidup dia sebab dia bukan calon pilihan bahagian,” kata sumber itu.

Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Sham Mat Sahat mengesahkan kenyataan sumber itu dan berkata, kedudukan Dr Noor Azmi yang bertelagah dengan pimpinan parti di bahagian sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Umno di Kuala Lumpur.

“Saya dah beritahu pemimpin tertinggi perangai dia ini, tetapi tidak diendahkan.

“Kami memang menolak (pencalonannya) tetapi dah dicalonkan (oleh parti) kami terpaksa bagi menang juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang sumber lain menjelaskan satu lagi punca Dr Noor Azmi keluar Umno – menjaga periuk nasi.

Beliau ialah pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia yang dilantik sejak 12 Oktober 2016. Menurut sumber itu, beliau keluar Umno dan mahu masuk Bersatu kerana tidak mahu hilang jawatannya.

Semakan di laman web LLM menunjukkan Dr Noor Azmi memegang jawatan sehingga 11 Oktober ini.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Dr Noor Azmi untuk mendapatkan komennya namun sehingga ini masih belum memberi maklum balas.

Nama Ahmad Zahid Hamidi turut terheret sama apabila beliau dikatakan perlu bertanggungjawab kerana jadi orang tengah selesai kemelut Dr Noor Azmi Ghazali dengan Umno Bahagian Bagan Serai sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2018.

Kelmarin, Dr Noor Azmi mengisytihar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan pimpinan PH di peringkat persekutuan dan negeri.

“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang saya wakili dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dr Noor Azmi, seorang doktor perubatan, adalah ahli Parlimen pertama yang meninggalkan Umno selepas parti itu kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

Berita mengenai beliau keluar Umno dan meninggalkan BN sebelum ini pernah jadi khabar angin sehari dua selepas PRU14, namun beliau ketika itu menafikannya.

Sementara itu, veteran Umno Zaharin Mat Yassin yang juga seorang pengkritik Umno, menyalahkan tindakan Dr Noor Azmi keluar parti ke atas pemangku presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Zaharin berkata, Zahid perlu bertanggungjawab kerana beliaulah yang mendamaikan krisis antara Dr Noor Azmi dan bahagiannya.

“Zahid Hamidi kena ambil tanggungjawab MP Bagan Serai sudah lompat, kerana dia yang damaikan. Walhal Umno Bagan Serai dah tolak (beliau),” tulisnya, di laman Facebook miliknya semalam.

Pada Mac lalu, Zahid menjadi orang tengah mendamaikan Sham dan Dr Noor Azmi yang tidak berlaga angin, dipercayai sejak selepas PRU13.

Langkah itu bertujuan bagi memastikan Umno dan BN menang dalam PRU14.

Selain menang kerusi Parlimen Bagan Serai, BN juga menang dua kerusi negeri di bawahnya dan hanya kalah kerusi DUN Gunung Semanggol kepada PAS. – 26 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen