PENGERUSI Umno Perak, Dr Zambry Abd Kadir menangkis dakwaan bahawa sabotaj oleh jentera parti itu memaksa Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar parti.
Zambry menolak dakwaan itu sebagai alasan semata-mata oleh Noor Azmi, yang kini mengisytiharkan dirinya sebagai ahli Parlimen Bebas dan menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“(Sabotaj) itu kata dialah. Dia boleh kata apa-apa pun. Kalau sabotaj takkan dia boleh menang. Dia rasa diri dia hebat?
“Beliau menang atas nama Umno dan rakyat memberi kepercayaan pada dia atas tiket BN. Maka hari ini beliau menggunakan pelbagai alasan, untuk bertindak keluar,” kata Zambry kepada pemberita.
Tindakan itu juga menunjukkan Noor Azmi mementingkan diri sendiri kerana meninggalkan parti dengan melulu, katanya.
“Bagi saya ialah keputusan dibuat agak mengecewakan kita. Setidak-tidaknya beliau perlu berbincang dengan saya. Ini langsung tidak memikirkan apa, dia hanya fikirkan tentang diri dialah,” katanya.
Zambry berkata Noor Azmi perlu menyedari pimpinan dalam PH tidak akan menerima kehadirannya dengan baik.
“Kita lihatlah respons daripada Amanah dan PKR yang begitu kasar terhadap beliau, sama ada mereka alu-alukan atau tidak.
“Jadi dalam hal ini saya serahkan kepada rakyat untuk menilai watak sebenar pemimpin seperti ini. Saya juga harap peristiwa ini diambil perhatian semua wakil rakyat,” kata Zambry.
Ditanya mengenai tindakan Umno untuk memastikan tiada lagi wakil rakyatnya keluar parti, Zambry menyerahkan kepada individu terbabit untuk menurut “hati” masing-masing.
Beliau berkata wakil rakyat PAS juga masih lompat parti walau parti Islam itu membuat peraturan keras dengan mensyaratkan untuk menceraikan isteri sekiranya keluar parti.
“Orang yang kita lihat sebelum ini mereka angkat sumpah dengan Quran, dengan baiah untuk menceraikan isteri. Ingat tak sebelum ini, ada sebuah parti (buat)? Itu pun mereka lompat juga.
“Jadi, dalam konteks kita bagaimana kita nak meletakkan, akhirnya bagaimana mereka seharusnya kena lihat dalam diri mereka sendiri. Mereka mewakili parti mana, terus kena berjuang dan berikan perjuangan itu kepada rakyat,” katanya.
Zambry juga percaya Noor Azmi tidak akan meletak jawatan dan merebut kembali jawatan tersebut, walaupun ahli Parlimen tersebut mendakwa menang atas popularitinya.
“Mesti dia akan kata kalau dia letak jawatan dia tidak boleh bertanding semula sebab peraturan bawah pilihan raya siapa yang meletak jawatan secara sukarela, mereka tidak dibenarkan bertanding untuk lima tahun,” katanya.
Noor Azmi semalam turut mengumumkan menyokong pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – 25 Jun, 2018.
Komen