PENDEDAHAN satu demi satu skandal Barisan Nasional (BN) oleh kerajaan baharu dan kedudukan hutang negara punca Gerakan keluar daripada gabungan politik yang disertainya 46 tahun lalu, kata veteran parti.
Ini termasuk pendedahan berkaitan 1Malaysia Development Berhad selepas polis menyerbu beberapa premis yang ada kaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan menemukan wang tunai berjuta ringgit dan barangan mewah.
Selebihnya, skandal kewangan melibatkan kerajaan sebelum ini dan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.
Semua itu sangat melampau, kata Chin, yang kini pengerusi jawatankuasa disiplin parti.
“Selama ini kami tidak tahu skandal ini sampai ke tahap mana. Selepas melihat apa yang berlaku, ahli-ahli di akar umbi rasa sangat terganggu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chin berkata Gerakan pada mulanya mahu menunggu sehingga pemilihan barisan kepimpinan baharu parti pada 17 November ini sebelum memutuskan rancangan terbaik untuk masa depan parti selepas gagal menang sebarang kerusi pada PRU14.
Gerakan bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri tetapi kalah semua.
“Tetapi keadaan makin sulit. Apa satu demi satu terdedah, keadaan jadi bertambah payah. Suara-suara tidak puas makin kuat.
“Kenapa kita masih bersama BN?” tanya mereka. Jadi parti terpaksa buat keputusan (keluar BN),” katanya.

Chin satu-satunya veteran Gerakan yang sedia berkongsi apa yang tidak kena dengan partinya itu, yang pernah dijuluk sebagai yang paling intelektual antara komponen BN, sehingga memaksa ia keluar dari gabungan itu.
Gerakan menyertai BN pada 1972 selepas bermula sebagai parti pembangkang pada 1968.
Pemimpin lain yang dihubungi, seperti Naib Presiden Chia Kwan Chye yang pernah jadi timbalan menteri, enggan mengulas manakala yang lain berkata “tiada guna” untuk mereka mengulas lanjut.
BN memerintah Malaysia selama enam dekad. Dalam tempoh itu, Gerakan berbangga menganggap dirinya sebagai “hati nurani” gabungan itu. Ia sebuah parti pelbagai kaum dalam BN yang dibentuk oleh parti-parti komponen utama yang berasaskan kaum seperti Umno, MCA dan MIC.
Namun Chin mendedahkan betapa selama ini Gerakan sering berlaga angin dengan rakan-rakan parti komponen dalam BN.
“Kami selama ini sebuah parti pelbagai kaum yang menyuarakan keprihatinan kami dan memperjuangkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama yang menghargai setiap rakyat Malaysia sebagai sama rata.
“Kami selama ini sangat Malaysia dan bersungguh-sungguh menentang rasuah. Kami bersuara setiap kali ada sesuatu yang tidak kena. Ia menyebabkan kami bertelingkah dengan parti-parti lain.
“Pernah sekali BN ada 14 parti, masing-masing dengan agendanya sendiri. Susah untuk bekerjasama tetapi kami bertahan selama lebih 40 tahun.”
Chin yang juga bekas senator BN, berkata perlembagaan BN membenarkan setiap parti komponen diwakili tiga anggota dalam Majlis Tertinggi parti itu.
“Ini bermakna setiap parti ada suara yang sama dalam BN tetapi saya tidak tahu apa jadi, dari tahun ke tahun Gerakan tenggelam.”
Katanya, Gerakan menderita dalam diam kerana ia memilih untuk menangani masalahnya di balik tabir. Ia tidak pernah mengkritik parti-parti dalam BN yang lain secara terbuka supaya barisan itu dilihat bersatu. Sebaliknya, ia “memujuk” berkali-kali untuk menangani dan menyelesaikan masalah, tanpa menghebohkan masalah itu.
“Kami buka jalan diam-diam. Banyak jalan yang kami buka dan banyak isu yang diselesaikan tetapi orang tidak tahu kerana kami tidak menghebohkannya.
“Sebab itu, orang tidak tahu apa yang Gerakan buat. Mereka salahkan kami,” kata Chin.
Chin setuju dengan pandangan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong yang menyebut tentang kejayaan DAP dalam pilihan raya selepas berulang kali gagal.
“Kami menaruh harapan. Kami sedang memulakan satu perjalanan panjang sekarang.”
Chin berkata Gerakan harus dijenamakan semula dan memilih pemimpin yang betul.
Walaupun tiada kerusi di Parlimen, ia masih boleh jadi pengimbang kepada kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan parti kerajaan itu memberikan khidmat yang betul kepada rakyat.
Namun bekas pensyarah itu mengaku Gerakan tidak cukup pemimpin pelapis. Parti itu tidak dapat menarik pemimpin yang menonjol untuk menyertainya, berbanding parti-parti dalam PH.
Ironinya, Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming, yang disebut-sebut bakal dilantik timbalan menteri, pernah bekerja di pejabat Gerakan di Serdang beberapa tahun lalu.
“Kami galakkan beliau pergi sambung belajar. Malangnya, beliau kemudian masuk DAP selepas menamatkan pengajiannya.” – 27 Jun, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan