Gerakan harap dapat inspirasi dari DAP


Looi Sue-Chern

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong Kim Seng percaya Gerakan boleh mendapat inspirasi dari DAP yang akhirnya berjaya menawan Putrajaya bersama parti komponen lain dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2018.

APABILA sesebuah parti itu tersungkur, ia mencari sinar harapan tidak kira dari mana walaupun dari sumber yang tidak pernah difikirkannya.

Itulah yang dialami Gerakan sekarang ini.

Gerakan tewas semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pencapaiannya paling buruk dalam sejarah parti itu. 

Dan hari ini, kepimpinan parti sebulat suara mengumumkan untuk meninggalkan Barisan Nasional(BN) yang menjadi penaungnya sejak 1974.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong Kim Seng tahu ramai yang menulis ucapan “belasungkawa” untuk Gerakan di dada-dada akhbar hari ini. Beliau percaya, Gerakan boleh mendapat inspirasi dari DAP yang akhirnya berjaya menawan Putrajaya bersama parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Pada satu ketika, mereka hampir jatuh. Tetapi mereka bangkit semula,” kata Andy.

Pada pilihan raya umum 1999, DAP hanya tinggal satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Pemimpin tertingginya, Lim Kit Siang dan Karpal Singh hilang kerusi Parlimen.

“Kami telah menjadi sebuah organisasi politik sejak 1968. Tak betul kalau kata kami tak relevan. Saya tak setuju. Sebagai sebuah parti politik, kami masih boleh mainkan peranan,” katanya.

Kata Yong, untuk dua tahun pertama, Gerakan akan menemui jalan sukar.

“Sentimen mengenai Gerakan dalam BN adalah jelas. Ada rasa kurang percaya kerana kami berada dalam BN.

“Sekarang Gerakan akan menjadi lebih efektif sebagai sebuah parti pembangkang yang bergerak sendirian,” katanya.

Yong menambah, untuk memastikan kerajaan PH mengotakan manifesto pilihan rayanya, perlu ada semak dan imbang.

“Di mana-mana, semua orang teruja. Semua yang kita perkatakan (mengenai kerajaan baharu) tidak berguna. Dalam dua tahun lagi baru boleh kita lihat.”

Jelasnya, tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU14 bukanlah bermakna Gerakan tidak boleh menjadi pembangkang yang berkaliber.

“Rakyat boleh mainkan peranan untuk meyemak imbang kerajaan sekarang,” kata Yong. – 23 Jun, 2018.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Majoriti rakyat menyokong kerajaan Pakatan Harapan.. Sama2 lah kita menyokong kerajaan untuk pembangunan dan kesejahteraan negara

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Nizam Hasbullah · Ulasan