Gerakan keluar BN


Keputusan diambil selepas “perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius” dalam situasi negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14, kata Presiden Mah Siew Keong hari ini. – Gambar ihsan Gerakan, 23 Jun, 2018.

GERAKAN hari ini mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN), sebulan setengah selepas gagal  menang satu pun kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) yang lepas.

Dengan keputusan itu, BN kini hanya dianggotai tiga parti – Umno, MCA dan MIC, berbanding 13 parti komponen sebelum PRU14.

Keputusan Gerakan ini menyusul 11 hari selepas empat parti komponen di Sarawak meninggalkan BN dan membentuk pakatan parti politik tempatan atas nama Gabungan Politik Sarawak (GPS).

Keputusan Gerakan keluar BN dicapai sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya hari ini, yang membincangkan perkembangan politik negara pasca PRU14 dan mengambil kira kehendak di akar umbi.

“Gerakan akan memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan dan akan menjadi sebuah parti pembangkang yang konstruktif,“kata jawatankuasa pusat gerakan dalam satu kenyataan selepas mesyuaratnya hari ini.

Jawatankuasa itu juga membayangkan Gerakan akan kembali jadi parti yang sama yang pernah ada pada tahun-tahun awal pembentukan Malaysia, yang mengangkat semangat liberal, menghormati kepelbagaian kaum dan bersikap pragmatik.

Gerakan adalah satu-satunya parti pelbagai kaum dalam BN di Semenanjung Malaysia.

Parti itu diasaskan oleh beberapa pemimpin serpihan MCA, bekas pemimpin Parti Buruh dan tokoh akademik menjelang pilihan raya umum 1969, antaranya Syed Hussain Alatas, Dr Tan Chee Koon, Lim Chong Eu dan Profesor Wong Gungwu.

Gerakan menang Pulau Pinang dalam pilihan raya umum itu, dan Lim jadi ketua menterinya. Tiga tahun selepas itu, Gerakan menyertai Perikatan dan kemudiannya bersama-sama membentuk BN.

Tetapi pada PRU14 yang baru lalu, Gerakan yang bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi negeri kalah semua kerusi, pencapaiannya yang terburuk dalam sejarah parti itu.

BN yang pada 9 Mei lepas 79 kerusi Dewan Rakyat kini tinggal 57 kerusi selepas gabungan politik sejak selepas PRU 1969 itu terlerai apabila satu demi satu parti komponen meninggalkannya bermula di Sabah dan selepas itu, Sarawak.

Dalam kenyataannya, jawatankuasa itu juga berpandangan Gerakan perlu menempa perjalanan politik baru untuk memperjuangkan apa yang ia percaya terbaik untuk Malaysia dan rakyat.

“Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli-ahli,”  kata jawatankuasa itu, sambil menyebut Gerakan keluar BN dalam suasana yang baik.

Gerakan juga memaklumkan ia sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sealiran fahaman dan perjuangan “atas kepentingan nasional” untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi.

“Kami komited secara sepenuhnya untuk memelihara cara hidup rakyat Malaysia yang kami kenal dan inginkan bersama sebagai warganegara,” kata kenyataan itu. – 23 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen