PIALA Dunia bukan satu-satunya acara yang menimbulkan keterujaan pengguna media sosial.
Keputusan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding melawan Ahmad Zahid Hamidi merebut jawatan presiden Umno ketika Barisan Nasional diambang kehancuran sekarang juga menjadi pertembungan paling dinanti-nanti.
“Tengku Razaleigh lawan Zahid. Perlawanan yang sangat mengujakan untuk ditonton,” tulis pengguna Facebook Francis Yip Hon Cheng.
Veteran Umno berusia 81 tahun yang dikenali ramai itu, yang juga dipanggil Ku Li mengumumkan hasrat bertanding tengahari tadi.
Pemimpin besar dari Kelantan dan ahli Parlimen Gua Musang itu akan berdepan bekas timbalan perdana menteri, Zahid yang juga naib presiden Umno dan seorang usahawan dan penulis blog Rahmar Azim Abdul Aziz yang juga dikenali dengan nama “Mat Umno” dari Umno Bahagian Kota Raja.
Sebahagian pengguna media social mengalu-alukan keputusan Tengku Razaleigh. Ada yang berpandangan beliau adalah calon presiden Umno yang lebih baik berbanding Zahid, yang kini memangku tugas-tugas presiden selepas Najib Razak letak jawatan susulan kekalahan memalukan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – 16 Jun, 2018
Komen