Ku Li bertanding presiden Umno


Radzi Razak

Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li mengumumkan bertanding jawatan presiden Umno menentang Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Jun, 2018

TENGKU Razaleigh Tengku Hamzah menawarkan diri bertanding jawatan presiden Umno, sekaligus menamatkan teka-teki mengenai pendiriannya sejak sebulan lalu, selepas Umno dan Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Tengku Razaleigh, 81, dijangka akan bertembung dengan Naib Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas-tugas presiden.

“Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan presiden Umno,” kata Tengku Razaleigh dalam sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur.

Sidang medianya disertai oleh beberapa calon yang bertanding pemilihan Umno hujung bulan ini termasuk dua calon kerusi naib presiden, bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani dan bekas menteri besar Johor Khaled Nordin.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau bertanding dengan tawaran membawa perubahan kepada Umno selaras dengan realiti politik pasca PRU14, setelah Umno jadi pembangkang sementara Barisan Nasional ditinggalkan oleh majoriti parti komponennya.

“Saya akan terus jaga akar umbi parti yang berasaskan perjuangan lindungi kepentingan Melayu, di samping menghormati dan menjaga kepelbagaian kaum negara ini,” katanya. 

Tengku Razaleigh bagaimanapun menjelaskan beliau masih belum membuat pakatan dengan pemimpin lain, kerana pemilihan Umno adalah pilihan akar umbi yang merupakan hak mereka.  

“Saya sendirian setakat ini. Kami membuat tawaran ini untuk posisi memimpin parti ini. Siapapun menang kami akan bekerja sebagai ahli Umno.

“Saya mesti berunding dengan kawan-kawan saya.Seperti yang diasas Umno dulu, kita mesti dengar dari orang bawah sebelum putuskan sesuatu,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Umno sensitif terhadap realiti politik pasca PRU14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri bagi memastikan parti orang Melayu terus kekal relevan.

“Bagi maksud ini, Umno di bawah kepimpinan saya akan memuat perubahan penyesuaian jika dianggap perlu.

“Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli Umno pada 1962, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan. Ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawarkan dirinya nagi tugas kepimpinan,” kata beliau lagi. 

Tengku Razaleigh menubuhkan parti pembangkang, Semangat 46 selepas Umno Asal diharamkan kerana kemelut pemilihan parti 1987. Dr Mahathir Mohamad adalah presiden Umno ketika itu.

Semangat 46 dibubarkan Tengku Razaleigh selepas beliau “berdamai” dengan Dr Mahathir pada 1996.

Bagaimanapun “comeback” beliau tahun itu terjejas selepas gagal mendapat kuota 15 pencalonan bahagian untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Pada tahun 2000 pula, beliau tidak mendapat pencalonan untuk menentang Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan timbalan presiden Umno, dan pada 2004 beliau sekali lagi gagal mendapat pencalonan menentang Abdullah yang ketika itu bertanding jawatan presiden.  

Pada tahun 2009, Tengku Razaleigh sekali lagi mahu bertanding jawatan presiden Umno tetapi tidak mendapat sebarang pencalonan. 

Presiden ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi berundur dan memberi laluan kepada Najib untuk menang tanpa bertanding jawatan presiden Umno yang baru selepas tekanan daripada Dr Mahathir supaya berundur.

Pada 2009, Umno diterajui Najib meminda Perlembagaan Umno bagi   memansuhkan kuota pencalonan untuk bertanding jawatan pusat termasuk jawatan presiden, timbalan, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno. – 16 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen