TENGKU Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berikutan kenyataan terbarunya mengenai tidak diberikan jawatan perdana menteri.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal meminta polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap bekas perdana menteri itu kerana menyentuh isu-isu 3R iaitu raja, agama dan kaum.
Tengku Hassanal bertitah Muhyiddin sengaja merendahkan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri.
“Kenyataan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titahnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz Kuantan, Pahang.
Tengku Hassanal bertitah berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Perkara 43(2) menetapkan perdana menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Tengku Hassanal bertitah Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
“Baginda semasa itu memanggil pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara serta mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja sebelum pelantikan perdana menteri dibuat.
“Parlimen juga meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022.
“Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan Sultan Abdullah semasa baginda memilih Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” titah Tengku Hasanal.
“Justeru itu beta mahu pihak polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R).
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara danterus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapar menjadi sebuah negara maju,” titahnya lagi.
Dalam sebuah ceramah di Felda Perasu pada 15 Ogos semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, bekas perdana menteri mendakwa atas sebab-sebab tertentu beliau tidak dijemput oleh Sultan Abdullah untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas PRU15 walaupun mempunyai jumlah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Muhyiddin dijangka akan memberikan kenyataan kepada polis esok mengenai ucapannya yang didakwa menyentuh isu-isu sensitif 3R.
Setiausaha peribadi Tengku Hassanal, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai polis Kuantan pada pukul 10.38 malam semalam. – 19 Ogos, 2024.
Komen