PEMIMPIN pembangkang Hamzah Zainudin melahirkan rasa kesal apabila ucapan takziah Pengerusi Perikatan Nasional ke atas pembunuhan pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh turut dipadam oleh Meta.
Beliau turut mempersoalkan keputusan Meta dalam hal ini.
“Adakah kenyataan mengutuk kekejaman yang mengorbankan nyawa merupakan satu kesalahan sehingga kenyataan tersebut diturunkan dari bacaan awam?
“Apakah tindakan mencela pembunuhan kejam dan mengutuk jenayah genosid diklasifikasikan sebagai melanggar piawaian standard atau “against community standard”?
Semalam Ismail, seorang tokoh terkenal dan pemimpin Hamas dilaporkan diserang di kediamannya di Tehran selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran.
Hamzah turut memuat naik tangkapan skrin yang menunjukkan akaun Muhyiddin menerima mesej automatik dan amaran daripada laman tersebut.
Semalam, ucapan terkejut dan marah Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pembunuhan Haniyeh juga dipadam oleh Meta dari Facebook dan Instagram.
Anwar sejak itu mengkritik dengan keras platform media sosial tersebut kerana memadamkan hantarannya dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan pengecut.
Hamzah meminta kerajaan agar bertindak berhubung dengan penapisan meluas ini.
“Yang paling penting, orang ramai mahu melihat pendirian yang lebih jelas dan tegas daripada kerajaan Malaysia terhadap tindakan syarikat antarabangsa seperti ini. Siapa musuh kita?” soalnya. – 1 Ogos, 2024.
Komen