PERIKATAN Nasional (PN) akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Mahkota akan datang, lapor New Straits Times.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata PN akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu.
“PN akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada pilihan raya kecil 28 September ini dan calon itu berkemungkinan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata PN juga akan membentuk jawatankuasa bagi PRK Mahkota secepat mungkin, manakala PAS akan terus menggerakkan jenteranya untuk menyokong PN.
Beliau berkata jentera PAS akan diambil dari tiga negeri di selatan iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dan akan dibantu oleh pasukan tambahan dari seluruh negara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menetapkan 28 September untuk PRK Mahkota yang diadakan berikutan kematian Sharifah Azizah pada 2 Ogos.
Penamaan calon akan diadakan pada 14 September, manakala pengundian awal ditetapkan pada 24 September.
Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan 66,318 pengundi keluar mengundi, dan SPR memperuntukkan RM2.4 juta untuk proses itu.
Pada pilihan raya negeri Johor ke-15 pada 2022, Sharifah Azizah memenangi kerusi Mahkota dengan majoriti 5,166 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang Taqiuddin Cheman dari Pakatan Harapan, Mohamad Nor Lingan dari PN dan Mohamed Noor Suleiman dari Warisan.
Sharifah Azizah yang sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, meninggal dunia pada usia 63 tahun. – 14 Ogos, 2024.
Komen