Pertembungan 2 penjuru antara Pakatan, Perikatan di Sungai Bakap


Pakatan Harapan mencalonkan bekas ahli akademik Dr Joohari Ariffin, 60, seorang guru yang merupakan pemimpin yang aktif dalam kalangan masyarakat tempatan di PRK Sungai Bakap. – Gambar Facebook, 22 Jun 2024.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Dr Joohari Ariffin dari Pakatan Harapan dan Abidin Ismail dari Perikatan Nasional.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim berkata hanya Joohari dan Abidin menyerahkan kertas pencalonan.

“Selepas menyemak semua kertas pencalonan, saya berpuas hati dengannya. Oleh itu tiada sebarang kertas yang ditolak.

“Jadi saya sahkan kerusi DUN Sungai Bakap akan ditandingi Joohari dan Abidin,” katanya.

Sungai Bakap dianggap sebagai kubu kuat PAS kerana kawasan itu bersempadan dengan Kedah di mana parti Islam itu paling dominan.

Daftar pemilih bagi Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 pegawai polis.

Seramai 522 petugas pilihan raya akan menguruskan proses PRK manakala lebih 600 pegawai polis akan ditempatkan bagi memastikan keselamatan terkawal.

Pada pilihan raya negeri Pulau Pinang Ogos lalu Nor Zamri yang juga Ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan 1,563 undi.

PRK Sungai Bakap adalah yang kelapan diadakan selepas pilihan raya umum 2022. – 22 Jun 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen