KEUTAMAAN menyelesaikan permohonan kewarganegaraan diberikan kepada kes membabitkan anak luar nikah dan anak angkat di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata ini kerana permohonan membabitkan dua kategori itu adalah yang tertinggi setakat ini diikuti kategori anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
“Permohonan kewarganegaraan membabitkan anak luar nikah adalah tinggi. Kanak-kanak ini tidak sepatutnya didiskriminasikan kerana kesalahan ibu bapa mereka.
“Jadi kami memberi keutamaan kepada permohonan mereka. Tahun lepas kita mencapai sasaran untuk menyelesaikan 14,000 kes. Sekarang jumlah itu sudah mencecah lebih 15,000, kita akan kekalkan momentum yang sama tahun ini,” katanya dipetik Bernama di Nibong Tebal hari ini.
Beliau berkata terdapat juga permohonan kerakyatan di bawah kategori naturalisasi tetapi hanya sebilangan kecil sahaja.
Dalam perkembangan lain Saifuddin Nasution mengesahkan polis menerima laporan mengenai kebocoran berhubung siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin dan perkara itu sedang disiasat.
Laporan polis itu susulan kebocoran butiran penyiasatan polis kurang 24 jam selepas ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Kumpulan Telegram memuat naik apa yang didakwanya sebagai kenyataan yang diambil oleh penyiasat daripada kedua ibu bapa.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyekat platform Telegram berikutan kebocoran itu Saifuddin Nasution berkata beliau menyerahkan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk membuat keputusan. – 16 Jun, 2024.
Komen