Jawatan presiden Bersatu kekal tidak dipertandingkan


JAWATAN presiden Bersatu tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti pada Oktober, kata setiausaha agungnya Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata perkara itu diperakui dalam mesyuarat yang diadakan pada Jumaat, selaras dengan resolusi yang diluluskan semasa mesyuarat Agung Tahunan Khas (AGM) Bersatu pada 25 November tahun lepas bahawa Muhyiddin Yassin akan mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti untuk pemilihan akan datang.

Beliau berkata Bersatu akan mematuhi perlembagaan parti dalam menjalankan pertandingan bagi jawatan lain dan calon hendaklah mengemukakan permohonan mereka kepada Majlis Tertinggi, mengikut Perkara 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.

“Mesyuarat juga memutuskan tarikh mesyuarat peringkat cawangan dari 20 Julai hingga 31 Ogos, dan mesyuarat peringkat bahagian dari 12 hingga 26 Oktober.

“Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda dijadualkan pada 28 November; Armada dan Srikandi (29 November) dan perhimpunan utama akan diadakan dari 30 November hingga 1 Disember,” katanya dalam satu kenyataan.

Hazmah turut mengumumkan Radzi Jidin dan Abdullah Omar Bledram masing-masing sebagai ketua protem bahagian Putrajaya dan Labuan.

Beliau juga berkata mesyuarat itu membincangkan status tujuh bekas wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di mana setiausaha agung parti itu diarahkan untuk mengambil tindakan susulan. – 9 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen