Keluarga penyerang balai polis Ulu Tiram ditahan di bawah Sosma, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata lima ahli keluarga lelaki yang menyerang balai polis Ulu Tiram dan membunuh dua polis kini ditahan di bawah Sosma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2024.

LIMA ahli keluarga lelaki yang menyerang balai polis Ulu Tiram dan membunuh dua polis kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Razarudin berkata kelima-lima mereka ditahan semula di bawah Sosma.

“Mengenai kes Ulu Tiram, perintah reman terhadap lima ahli keluarga (penyerang) tamat hari ini dan kita menahan mereka di bawah Sosma,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya selain disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, polis turut menyiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Bertambah).

Beliau berkata ini kerana polis menemui “paip” yang boleh digunakan untuk membuat pistol udara.

Minggu lalu, konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut di balai polis Ulu Tiram selepas mereka diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan parang. Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak.

Susulan serangan itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun bersama dua orang lain bagi membantu siasatan berhubung kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh. – 24 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen