Singapura tingkat langkah keselamatan susulan serangan balai polis Ulu Tiram


Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya meningkatkan langkah keselamatan di pusat pemeriksaan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei 2024.

SINGAPURA mempertingkatkan langkah keselamatan susulan serangan ke atas balai polis di Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan dua anggota polis, lapor Bernama.

Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya meningkatkan langkah keselamatan di pusat pemeriksaan negara.

“Pelancong harus menjangkakan kelewatan di pusat pemeriksaan kerana pemeriksaan yang diperketat dan mengambil kira masa tambahan yang diperlukan untuk urusan imigresen.

“Sama ada di Singapura atau melancong ke luar negara, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang individu atau aktiviti yang mencurigakan kepada polis dengan segera,” kata MHA.

MHA berkata mereka sedang memantau perkembangan keselamatan global dan seratau dengan teliti termasuk serangan di Johor pada Jumaat yang didakwa dilakukan oleh seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI).

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) juga berhubung dengan rakan sejawat mereka di Malaysia.

Terdahulu, polis menafikan lelaki yang membunuh dua anggota polis di balai polis Ulu Tiram mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain menjelaskan kenyataan awal yang dikeluarkan pasukan itu mengatakan suspek anggota Jemaah Islamiyah (JI) adalah berdasarkan penglibatan bapanya dengan kumpulan pengganas itu.

Razarudin berkata bapa suspek berusia 62 tahun yang merupakan anggota JI.

“Suspek tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tidak mempunyai kaitan dengan JI. Dia tidak terlibat dalam keganasan,” kata Razarudin dalam satu laporan.

Beliau berkata polis sedang berusaha untuk mengenal pasti motif di sebalik serangan itu.

Pada 2.45 pagi Jumaat, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas mereka diserang oleh seorang lelaki yang bersenjatakan parang. Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak.

Susulan serangan itu polis menahan lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun bersama dua lagi yang kesemuanya direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 19 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen