KUMPULAN bersenjata menggunakan bahan letupan membunuh sekurang-kurangnya 21 orang termasuk kanak-kanak dalam serangan ke atas gereja Katolik di barat daya Nigeria, kata pegawai tempatan.
Pertumpahan darah di Gereja Katolik St. Francis di bandar Owo pada Ahad merupakan serangan yang jarang berlaku di barat daya Nigeria yang biasanya lebih selamat dan mengejutkan sebuah negara yang sudah biasa dengan serangan jihad dan penculikan besar-besaran di sebelah utara.
Darah masih kelihatan di lantai gereja dan serpihan bertaburan selepas sehari selepas serangan yang dikatakan pejabat gabenor Ondo meragut sekurang-kurangnya 21 nyawa.
Lelaki bersenjata bersembunyi di kalangan jemaah di dalam gereja dan turut melepaskan tembakan ke arah jemaah melalui tingkap dari luar.
“Siasatan mendapati beberapa lelaki bersenjata menyamar sebagai jemaah, manakala lelaki bersenjata lain yang sudah bersedia di sekitar premis gereja dari arah berbeza kemudiannya melepaskan tembakan ke dalam gereja,” kata polis dalam satu kenyataan.
Serpihan bahan letupan dan tiga alat yang tidak meletup ditemui di tempat kejadian.
Richard Olatunde, jurucakap pejabat gabenor Ondo, memberitahu AFP 21 orang maut selepas lelaki bersenjata meletupkan dinamit di dalam gereja sebelum melepaskan tembakan.
Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Olanrewaju Kadiri berkata 22 orang terbunuh, termasuk beberapa kanak-kanak, dengan 40 orang lagi cedera.
Setakat ini masih belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan motifnya tidak jelas.
Naib Presiden Yemi Osinbajo tiba pada Isnin untuk melawat di mana beliau berkata pelaku “akan dapat aibatnya atas serangan keji ini”.
Mereka yang terselamat menyifatkan suasana panik ketika jemaah melarikan diri daripada letusan tembakan secara tiba-tiba itu.
Kerajaan negeri mengisytiharkan tempoh berkabung tujuh hari untuk mangsa, dan mengarahkan bendera negara dikibarkan separuh tiang di Ondo. – AFP, 7 Jun, 2022.
Komen