Permohonan tahanan rumah Najib mesti ikut proses, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak akan melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan kes pengampunan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak akan melangkaui kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan kes pengampunan Najib Razak.

Bercakap dalam temu bual dengan Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar semalam, Anwar bagaimanapun berkata jika ditanya oleh Agong beliau akan menggesa agar proses sewajarnya diikuti.

“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan meminta Agong untuk mengikut proses,” katanya.

Beliau juga berkata adalah penting untuk mematuhi proses sewajarnya, memetik keputusan Agong sebelum ini mengurangkan sebahagian hukuman Najib.

Beliau juga menasihatkan Agong untuk mempertimbangkan permohonan Najib seperti mana-mana rakyat biasa yang memfailkan rayuan kepada Lembaga Pengampunan.

Anwar seterusnya berkata beliau memberikan Najib semua kemudahan penjara sambil menambah penjara bukanlah tempat mewah.

Bulan lalu, Anwar berkata Agong mempunyai kuasa dalam Lembaga Pengampunan dan kerajaan persekutuan tidak akan mempersoalkan kuasanya.

Beliau juga mengulangi tidak akan campur tangan dalam mana-mana perintah tambahan untuk memberikan Najib tahanan rumah walaupun dikritik kerana tidak melakukan apa-apa.

“Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan titah Agong. Itu jawapan saya, berdasarkan perbincangan dengan Peguam Negara dan maklumat daripada raja-raja Melayu dan Agong.

“Kami tidak cuba mengurangkan keputusan yang dibuat oleh hakim. Entah kenapa, ada pihak tertentu tidak berkenan dengan (pendirian kami).

“Pendirian kita jelas, keputusan mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan keputusan muktamad Agong juga perlu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Sehingga kini tidak ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa raja-raja Melayu.

“Mereka yang tidak memahami keputusan itu, mereka tidak layak menjadi pengulas politik,” katanya.

Sebelum itu Anwar berkata beliau tidak mahu campur tangan dalam perkara itu sambil berkata kerajaan menghormati kebebasan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong.

Najib memfailkan permohonan undang-undang untuk mendapatkan jawapan sekiranya terdapat perintah tambahan daripada bekas Agong membenarkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Bagi menyokong permohonan Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi memfailkan afidavit untuk mengesahkan kewujudan perintah tambahan itu. – 15 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen