Laporan dedah helikopter TLDM terbabit nahas selamat untuk terbang


Salah sebuah helikopter yang terhempas di pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada 23 April lalu. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 9 Mei, 2024.

DUA helikopter yang terhempas selepas bergesel ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut bulan lepas berada dalam keadaan selamat untuk terbang.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan awal mendedahkan kesemua kru yang terbabit dalam insiden itu mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat.

Nahas pada 23 April lalu itu mengorbankan nyawa 10 pegawai dan anggota TLDM yang menaiki dua helikopter berkenaan.

Laporan awal TLDM juga mendedahkan kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).

Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan, tambahnya.

“Pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut

“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” kenyataan itu dipetik.

Menurut TLDM, tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Katanya, satu Lembaga Siasatan telah ditubuhkan, dan dianggotai seramai 9 pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara. 

“Lembaga Siasatan ini turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara - Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM.” 

Ia juga berkata Lembaga Siasatan kini sedang berusaha untuk menyiapkan Laporan Akhir, yang dijangka siap pada 29 Mei.

TLDM juga memberi jaminan siasatan akan dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – 9 Mei, 2024.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen