
KAPAL tempur pesisir pantai (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka siap November tahun depan, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.
Jangkaan ini berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak tambahan yang ditandatangani dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), katanya pada sindang Dewan Rakyat hari ini.
“Dalam perkembangan terkini, kontrak tambahan keenam telahpun ditandatangani pada 26 Mei 2023, yang merupakan tarikh permulaan bagi memulakan kerja-kerja pembinaan LCS.
“Berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam perjanjian tambahan ini, kapal LCS pertama akan dapat disiapkan pembinaannya pada November 2024 sebelum melalui beberapa penilaian iaitu Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trials (SAT) oleh pihak TLDM sendiri.
“Justeru itu berdasarkan perancangan ini, insya-Allah kapal LCS yang pertama dijangka akan dapat ditauliahkan bagi kegunaan TLDM pada akhir 2026,” kata Adly yang juga ahli Parlimen Alor Gajah.
Beliau menjawab soalan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang membangkitkan persoalan mengenai garis waktu projek LCS pertama, dan adakah kapal itu boleh disiapkan bagi kegunaan TLDM pada 2026.
Menteri Pertahanan Mohamad Hasan pada bulan lepas berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan LCS.
Pelaksanaan projek LCS bagaimanapun tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek yang dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha perbendaharaan dan ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, katanya.
Menurut pemfailan Boustead Holdings Berhad (BHB) kepada Bursa Malaysia pada 26 Mei lalu, kontrak tambahan keenam yang ditandatangani, juga pada hari yang sama, memerlukan anak syarikatnya BNS untuk menghantar lima LCS dan bukannya enam kapal.
Jumlah keseluruhan kos projek itu telah disemak menjadi RM11.2 bilion, meningkat daripada RM9 bilion sebelum ini, kata BHB.
Menurut BHB, kapal pertama akan dihantar dan diuji sepenuhnya pada Ogos 2026, manakala kapal kelima dijangka pada April 2029.
Berkenaan jumlah kos, Adly berkata tempoh pembinaan dan perubahan spesifikasi antara faktor utama yang menyebabkan berlaku peningkatan kos dalam projek pembinaan LCS.
Katanya, mengikut kontrak tambahan keenam yang ditandatangani baru-baru ini, projek tersebut memerlukan tambahan 83 bulan bagi tempoh pembinaan.
“Apabila kita bersetuju untuk meneruskan projek LCS ini, sudah pasti kita memerlukan tempoh. Kalau kita tengok perjanjian asal itu sepatutnya kapal LCS pertama itu dapat kita siapkan pada 2019 pembinaannya. Jadi, pertambahan 83 bulan itu memberikan beberapa kos.
“Antara penambahan kos terbesar adalah perubahan spesifikasi berdasarkan kepada keperluan TLDM. Kerajaan meluluskan spesifikasi bagi Surface-to-Surface Missile System, Decoy Launching System (DLS) dan beberapa sistem lain,” jelasnya. – 8 Jun 2023.
Komen