Pengguna media sosial persoal kelayakan calon PN, bukan kami, kata Loke


Setiausaha agung DAP Anthony Loke menafikan Pakatan Harapan terlibat dalam sebarang bentuk pembunuhan karakter.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2024.

KERAJAAN perpaduan tidak risau tentang kelayakan akademik calon Perikatan Nasional (PN) Kuala Kubu Baharu Khairul Azhari Saut, kata Anthony Loke.

Setiausaha Agung DAP itu berkata kelayakan akademik calon PN itu dipersoalkan oleh pengguna media sosial.

Beliau berkata pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana dia (Khairul) mempunyai ijazah sarjana tanpa ijazah sarjana muda.

“Kami tidak pernah kata kelayakannya tidak sah. Ia dibangkitkan di media sosial. Kami tidak pernah memulakannya,” katanya kepada pemberita hari ini di Kuala Kubu Baharu.

Loke berkata PN cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan soalan mengenai kelayakan akademik calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao dan oleh itu PH mengeluarkan butiran mengenai latar belakang akademiknya.

“Jadi apa yang kami lakukan ialah menyatakan fakta. Kami tidak terlibat dalam sebarang bentuk pembunuhan karakter,” katanya.

Biodata Khairul, yang menyatakan bahawa beliau menerima diploma eksekutif dalam pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan sarjana dalam Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dua tahun lalu, mencetuskan persoalan di media sosial.

Selepas itu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kelayakan akademik Pang.

PH kemudian menyiarkan transkrip keputusan SPM dan UPSRnya, mendedahkan dia mendapat semua A dalam peperiksaan.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini akan menyaksikan pertandingan antara empat calon.

Mereka ialah Pang Sock Tao dari PH, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

Pilihan raya kecil itu dicetuskan oleh kematian Adun tiga penggal kawasan itu daripada DAP, Lee Kee Hiong. – 1 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen