MYAirline perlu selesaikan isu jika mahu beroperasi semula, kata menteri 


MYAIRLINE Sdn Bhd perlu melunaskan tunggakan gaji pekerja dan pembayaran balik kepada penumpang yang terjejas sekiranya mahu mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) untuk beroperasi semula, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata beliau akan berjumpa dengan pihak MYAirline hari ini untuk mendengar cadangan dan pelan terkini syarikat penerbangan tersebut susulan laporan yang mengatakan syarikat itu telah memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir tahun lepas dalam usaha menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

“Apa sahaja permohonan yang mereka mahu buat, pertama sekali mereka perlu membuat pembayaran balik kepada penumpang dan kedua, apa sahaja yang patut dibayar kepada kakitangan, mereka mesti membayarnya. Tanpa kedua-dua ini, ia sama sekali tidak akan berlaku (penyambungan operasi),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Pengangkutan, di Putrajaya, hari ini.

Pada 12 Okt, 2023, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi penerbangannya berkuat kuasa hari yang sama atas alasan menghadapi tekanan kewangan.

Bernama yang memetik sumber hari ini melaporkan MYAirline telah memperoleh dan menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada akhir Disember 2023 dalam usaha menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

Memandangkan kini terdapat pelabur baharu, syarikat penerbangan itu dipercayai telah memohon kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bersyarat, seterusnya Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum menerima ASL sepenuhnya untuk beroperasi.

Selain dua syarat berkenaan, Loke berkata sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi perlu juga mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk syarat 51 peratus pegangan saham syarikat Malaysia.

Sementara itu, mengenai laporan penemuan palam pintu dipercayai miliki pesawat Alaska Airline yang tertera perkataan ‘Made In Malaysia’ (Buatan Malaysia), Loke berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenainya dan akan meminta CAAM untuk meneliti perkara tersebut jika terdapat pemohonan rasmi daripada syarikat penerbangan berkenaan.

Beliau juga enggan mengulas lanjut kerana belum dapat dipastikan kesahihannya kerana ia adalah berdasarkan laporan media.

Pada 5 Jan lepas, penerbangan Alaska Airlines dari Portland, Oregon ke Ontario, California, dilaporkan telah mencapai ketinggian 16,000 kaki apabila ia memulakan penurunan kecemasan setelah sebahagian daripada dinding pesawat itu tercabut.

Portal berita Oregon Public Broadcasting (OPB) melaporkan pengalaman guru sekolah, Bob Sauer, yang menjumpai palam pintu yang tercabut daripada badan pesawat di halaman belakang rumahnya di pinggir bandar Oregon mempunyai tulisan ‘Made In Malaysia’. – Bernama, 12 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen