Kedutaan AS sanggah dakwaan Malaysia tak selamat dikunjungi


Malaysia mempunyai demokrasi yang pelbagai dan merupakan rakan kongsi penting dalam penglibatan AS dengan Asia Tenggara, menurut kenyataan Kedutaan AS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2024.

KEDUTAAN Amerika Syarikat (AS) di Malaysia menyanggah dakwaan ahli akademik AS Bruce Gilley bahawa negara ini tidak selamat untuk dilawati.

Dalam satu kenyataan dipetik oleh South China Morning Post, Kedutaan AS berkata tiada perubahan kepada nasihat perjalanan yang kekal pada Tahap 1, iaitu tahap paling rendah daripada empat tahap.

Menurut Biro Hal Ehwal Konsular AS, Tahap 1 ialah tahap nasihat terendah untuk keselamatan dan keselamatan, antara Tahap 1 hingga 4, dan 4 ialah “jangan mengembara”.

Laman web Jabatan Negara AS menunjukkan bahawa Malaysia berada di Tahap 1 sejak kemas kini terakhirnya pada 24 Julai 2023.

Malaysia dan AS juga mempunyai hubungan dua hala yang sihat, menurut jabatan itu.

“Hubungan ekonomi teguh, dan terdapat sejarah panjang pertukaran rakyat dengan rakyat. Malaysia mempunyai demokrasi yang pelbagai dan merupakan rakan kongsi penting dalam penglibatan AS dengan Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pihak universiti tidak harus mengundang ahli akademik mediocre (tidak bermutu) seperti Gilley sebagai pensyarah pelawat.

“Pensyarah berkualiti rendah tidak perlu dibawa masuk sebagai pensyarah pelawat pada mulanya.

“Menteri Pendidikan Tinggi sudah menjawab (isu ini),” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Perdana menteri berkata demikiankepada media selepas Upacara Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan MAB Academy di MAB Academy di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Gilley tampil sebagai penceramah jemputan Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Dalam syarahannya bertajuk “Will Malaysia become an active middle power?”, profesor sains politik dari Portland State University itu berkata ahli politik Malaysia menyokong Holocaust kedua terhadap orang Yahudi.

Susulan itu, UM mengemukakan permohonan maaf atas kontroversi yang timbul dan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Gilley.

Dalam satu kenyataan semalam, universiti itu berkata laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit dengan isu ini.

UM juga berkata pihaknya sudah mengambil tindakan serta merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri ahli akademik itu.

Pihak universiti mengecam kenyataan Gilley berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

Katanya, ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

“Pihak UM akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” katanya. – 26 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen