Dari Anak Alam ke 30 tahun Aswara


Naim Al-Kalantani

DI atas kertas, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dibina dengan di atas satu dasar iaitu Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Menelusuri kembali kewujudan Akademi Seni Kebangsaan (ASK), boleh dikatakan ia berdasarkan beberapa klausa di dalam rumusan Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK) yang dimuatkan dalam Asas Kebudayaan Kebangsaan (1973).

Kesucian tapak Aswara kini bukan terjadi akibat daripada DKK. Tetapi ia mempunyai jalur sejarah yang amat panjang dan mungkin tidak sampai kepada generasi terkini.

Memang, penubuhan ASK merupakan rentetan kongres, kemudian kabinet bersetuju menubuhkan satu akademi seni, dan pada 1994 kumpulan pertama pelajar mendaftar pengajian Diploma ASK di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Pada 2004, ASK berpindah ke kampus tetap di Jalan Tun Ismail, di sebelah bangunan Kementerian Kerja Raya. Kementerian yang menjaga ASK ketika ini ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA). Pada tahun 2006, Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Akta 653) diluluskan oleh Dewan Negara dan pada 2008, menteri KEKKWA mengisytiharkan Aswara sebagai sebuah badan berkanun persekutuan.

Walaupun tidak ramai yang mengetahui bagaimana penubuhan ASK sehingga menjadi Aswara, sejarah ini dapat dicapai melalui carian internet, buku dan makalah-makalah dalam jurnal-jurnal akademik atau tulisan-tulisan pojok.

Kompleks Budaya Negara (KBN)

Kampus tetap ASK berada di atas tapak Kompleks Budaya Negara (KBN). KBN ditubuhkan pada 1971 di bawah Cawangan Pendidikan dan Pengembangan Kesenian. Kompleks ini mempunyai kumpulan penari dan pemuzik tradisional dengan aktivitinya mengadakan siri persembahan seni budaya setiap tahun.

Menurut Zulyati Zakaria & Ang Kean Hua (2022), penubuhan KBN merupakan salah satu infrastruktur fizikal terpenting dalam sejarah perkembangan kegiatan-kegiatan kesenian di negara ini. Kompleks ini mempunyai dua komponen utama iaitu Panggung Negara dan Taman Budaya.

KBN ini menyerupai makmal kebudayaan yang memenuhi gerak kerja pendidikan dan pembangunan kebudayaan.

Tertubuhnya KBN juga disebabkan rumusan di dalam KKK yang menyatakan bahawa perlunya ada satu Panggung Negara. Panggung Negara ini akhirnya ditukarkan menjadi Istana Budaya dan telah beralih tempat sebagaimana yang kita ketahui sekarang.

Selain bangunan baru yang ditubuhkan untuk KBN yang didirikan di Persiaran Tun Dr Ismail, terdapat sekurang-kurangnya tiga buah rumah banglo yang berasaskan campuran kayu dan batu.

Salah sebuah rumah tersebut menjadi kantin KBN kelolaan pasangan Nawi Mukri dan Salmiah Sidek. Nama pasangan tersebut mungkin tidak dikenali, tetapi anak mereka ialah pelakon veteran Datuk Fauziah Nawi. Pengusaha kantin tersebut telah wujud sejak dari penubuhan Taman Budaya, Jalan Ampang lagi.

Anak Alam

Anak Alam bukan mula bertapak di kawasan KBN tersebut, mereka mendiami sebuah bangunan di Taman Budaya, depan Ampang Park, No. 165 Jalan Ampang, kemudian dipindahkan ke bangunan usang yang tidak berpenghuni iaitu di 905, Persiaran Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Setepatnya, tapak bangunan Anak Alam yang baru ini berada bersebelahan dengan kantin KBN—yang kini bertukar menjadi Kafe Merbok, kafeteria Aswara. Jika ditelusuri jauh lagi, tapak Aswara pada asalnya merupakan tapak Istana Singgah Selangor sekitar 1940-an kemudian bertukar menjadi International School of Kuala Lumpur (ISKL) sekitar tahun 1965 dengan alamat 464 Maxwell Road sebelum menjadi kawasan KBN.

Pada tahun 1990-an, kerajaan menetapkan kawasan KBN itu menjadi Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dengan mengekalkan nombor alamat iaitu 464, tetapi nama jalan telah bertukar menjadi Jalan Tun Ismail. Kemudian pada 2006, ASK ditukar namanya menjadi Aswara.

Dendangan KBN masih boleh dicapai dari internet dan makalah-makalah. Tetapi sejarah sebelum tertubuhnya KBN ialah wujudnya satu kumpulan yang bernama Anak Alam.

“Anak Alam merupakan kolektif seni yang mengadakan kegiatan seni lukis, persembahan teater dan baca sajak,” kata “Picasso Malaysia” Latiff Mohidin.

Ia bahkan bukan organisasi terancang, sebab itulah hanya disebut sebagai “kolektif”. Nama kolektif ini sebenarnya ada tiga cadangan pilihan dalam kalangan mereka yang terlibat ketika di peringkat awal. Akhirnya, mereka memilih untuk menerima cadangan daripada Latiff Mohidin dengan nama “Anak Alam”.

Walaupun kolektif Anak Alam ini tidak bernaung di bawah mana-mana entiti, tetapi mereka mempunyai penaung tidak rasmi iaitu pengarang Dewan Sastera Sasterawan Negara Usman Awang dan Pengarah KBN ketika itu, Ismail Zain. Rumah yang menjadi studio Anak Alam itu diberikan oleh Ismail Zain kepada kolektif ini.

Selain Latiff, ada beberapa nama lain yang menonjol dalam bidang seni masing-masing dianggap sebagai ketua Anak Alam, ia termasuklah Mustapa Ibrahim yang baru meninggalkan kita pada 28 Mei lalu. Mustapa dianggap sebagai ketua kumpulan kerana berjaya membentuk hala tuju Anak Alam selain Zulkifli Dahalan, Yusoff Osman dan Ali Rahamad.

Rata-rata daripada kumpulan pertama di Anak Alam ialah mereka yang terlibat dalam bidang seni lukis dan juga serpihan daripada Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS). APS ditubuhkan pada 1956 yang berasal daripada Majlis Kesenian Melayu dengan pengoperasian di kediaman Mohd. Hoessein Enas di No. 567, Hose Road, Kuala Lumpur.

Anak Alam yang aktif sehingga 1980-an boleh dianggap sebagai pelopor atau perintis kepada kumpulan artis pelbagai disiplin seperti Centerstage Performing Arts, Five Arts Centre dan lain-lain.

Jika ditanya kepada para pelajar Aswara sendiri, kebanyakan para pelajarnya tidak mengetahui sejarah ini. Paling jauh, mungkin hanya terhenti di DKK sahaja. Anak Alam memberi kesan besar kepada sejarah kesenian dan kebudayaan di Malaysia, tetapi malangnya, ia tidak mempunyai dokumen rasmi yang boleh ditatap kerana sifat tidak rasmi kolektif tersebut.

Mungkin para warga Aswara atau peminat seni dan budaya lainnya boleh menekuni sejarah ini dan secara tidak langsung, memberi nilai sentimental bagaimana lajur sejarah dari Anak Alam ke Aswara ini terbentuk.

Sejarah Aswara kini bukan terjadi begitu sahaja. Ia mempunyai roh seni dengan sejarah yang sangat panjang. Sepatutnya, untuk menyambut 30 tahun kelahiran Aswara dan secara kebetulan menyambut 50 tahun Anak Alam pada tahun ini, sekurang-kurangnya sebuah monumen mengingati Anak Alam perlu dibina.

Tetapi itulah, siapa saja yang menghargai seni dan sejarahnya? – 17 April, 2024.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen