Peratusan keluar undi rendah di KKB mungkin jejaskan DAP, kata pemerhati politik


Pemerhati politik berkata kemungkinan pengundi bukan Melayu yang menetap di luar kawasan tidak akan kembali mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2024.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang akan datang tidak akan menjadi jalan mudah bagi Pakatan Harapan atau DAP yang memegang kerusi itu sejak 2013, kata pemerhati politik.

Mereka memberi amaran DAP mungkin akan berdepan kekecewaan pada 11 Mei jika terdapat penurunan dalam sokongan bukan Melayu atau jika terdapat peratusan keluar mengundi yang rendah.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar berkata trend pengundian pengundi Melayu yang terus menyokong Perikatan Nasional juga boleh menjejaskan DAP.

“DAP boleh berdepan kekalahan tipis dengan unjuran peratusan keluar mengundi rendah sebanyak 65% dan jika peralihan undi Melayu dan belia kepada PN kekal tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kemungkinan pengundi bukan Melayu yang menetap di luar kawasan tidak akan kembali mengundi.

“Sekiranya pengundi tempatan tidak bersemangat untuk keluar, ini boleh menyaksikan peratusan undi untuk DAP merosot,” tambah penganalisis politik itu.

Kerusi DUN Selangor di KKB kosong berikutan kematian Adun tiga penggalnya Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac selepas bertarung dengan kanser.

Hari mengundi ditetapkan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar berkata trend pengundian pengundi Melayu yang terus menyokong Perikatan Nasional juga boleh menjejaskan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2024.

Pengundi India disifatkan sebagai ‘king maker’ di kerusi ini kerana mempunyai bahagian pilihan raya Melayu dan Cina yang agak sama rata.

DUN KKB mempunyai pengundi campuran yang terdiri daripada 50% pengundi Melayu, 30% Cina dan 18% pengundi India.

Mengikut daftar pemilih terkini terdapat lebih 40,000 pemilih berdaftar di KKB.

Hisomudin berkata tinjauan KKB boleh menyaksikan peralihan undi kaum India kepada pembangkang.

“Bagi orang Cina, saya tidak nampak peralihan sokongan mereka daripada PH kepada PN tetapi bagi pengundi India, kemungkinan peralihan lebih tinggi,” katanya.

Hisomudin berkata corak pengundian kaum India agak “rapuh” pada masa ini dan beliau berkata peralihan undi mereka agak ketara pada pilihan raya enam negeri tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan kajian Ilham Centre, kaum India tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada.

“Ini kerana di bawah kerajaan sekarang mereka (kaum India) merasakan hak dan nasib mereka tidak menjadi keutamaan.

“Masalah seperti kenaikan harga barang, peluang pekerjaan untuk anak-anak adalah antara kebimbangan utama masyarakat India,” katanya.

Laporan berita baru-baru ini menunjukkan DAP memerlukan sekurang-kurangnya 60% undi India di KKB untuk meraih kemenangan.

Undi Melayu penting

Hisomudin berkata penilaian pengundi bukan Melayu kini lebih kepada prestasi dan pencapaian kerajaan perpaduan khususnya isu berkaitan ekonomi, harga barang, hak kerakyatan dan polemik lain berkaitan isu kaum serta agama.

“DAP berada dalam dilema kerana mereka tidak boleh menonjol seperti dulu berikutan kini mereka sebahagian daripada kerajaan.

“Selain itu isu mereka dengan parti Umno-Barisan Nasional masih belum reda sepenuhnya. Semua ini akan memainkan peranan dalam mempengaruhi pemikiran pengundi menjelang hari mengundi,” katanya.

Sementara itu James Chin dari Universiti Tasmania berkata undi Melayu akan memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan bagi gabungan pemerintah.

Beliau juga berkata walaupun Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencetuskan kontroversi baru-baru ini, ini tidak akan membawa undi Melayu kepada DAP atau mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

“Tekaan saya adalah ia tidak akan menyebabkan undian kerana Akmal melebih-lebihkan isu stoking tertera kalimah Allah.

“Ini menyebabkan orang ramai membaling bom api (di kedai KK Mart) dan sebagainya.

“Malah dalam kalangan orang Melayu, mereka menyedari perkara itu menjadi semakin politik,” katanya.

Chin bagaimanapun berkata calon PK boleh memenangi KKB selagi undi bukan Melayu kekal bersama mereka.

“Selagi tiada ketirisan undi Cina dan India, DAP masih boleh menang.

“Persoalannya berapa banyak lebihan undi yang mereka boleh perolehi daripada undi Melayu? Saya difahamkan Adun sebelum ini mendapat sekurang-kurangnya 10% undi Melayu.

“Jika undi Melayu jatuh, saya percaya Umno pun akan menyalahkan Akmal,” katanya. – 16 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen