PAS sasar sokongan bukan Islam, kata timbalan presiden


Ravin Palanisamy Diyana Ibrahim

Tuan Ibrahim akui kurangnya penglibatan PAS dengan bukan Islam menjadi salah satu punca parti itu hilang undi bukan Islam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 15 Mac, 2023.

PAS mensasarkan untuk menarik undi bukan Islam di seluruh negara susulan pencapaian cemerlang parti Islam itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Akui parti Islam itu lebih fokus kepada dasar untuk orang Islam namun Tuan Ibrahim berkata mereka sudah melebarkan sayap dan pendekatan terhadap bukan Islam untuk menjadi parti dominan di Malaysia.

“Kami memang perlu tingkatkan usaha dalam mendekati kaum lain sebab mana-mana parti yang nak dominan di Malaysia ini tidak boleh hanya ada satu kaum saja.

“Ia mesti mewakili pelbagai kaum, Cina, India dan lain-lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut akui kurangnya penglibatan PAS dengan bukan Islam menjadi salah satu punca parti itu hilang undi bukan Islam.

“Kami akui itu kerana dasar yang dibawa PAS adalah dasar Islam, sentimen bukan Islam terhadap PAS tidak sekuat terhadap parti yang wakili kaum mereka seperti MIC atau MCA.

“Saya juga fikir dalam banyak sebab lain, kurangnya pendekatan dengan komuniti Cina dan India (boleh jadi faktor kurangnya sokongan),” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS menjadi kuasa besar di Pantai Timur yang mempunyai sokongan kuat daripada kaum Melayu seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Namun katanya mutakhir ini sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin meningkat.

“Di negeri yang kami menang, sokongan komuniti bukan Islam terhadap PAS tidak jadi isu.

“Kami menang agak meyakinkan di Alor Setar dan Kuantan (semasa PRU15) di mana kawasan ini pengundinya bercampur dan sokongan bukan Islam terhadap PAS nampaknya lebih baik,” katanya.

Dalam PRU15 lalu, PAS menguasai Kelantan dan Terengganu dengan memenangi semua kerusi Parlimen yang ditandingi sambil turut menguasai Kedah dan Perlis.

Parti Islam itu menang 43 kerusi di Parlimen, angka terbesar mengikut parti tanpa gabungan.

Dalam PRU15 lalu, PAS menang 43 kerusi di Parlimen, angka terbesar mengikut parti tanpa gabungan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2023.

Bukan Islam tidak diketepikan dalam negeri PAS

Kata Tuan Ibrahim, PAS tidak pernah mengetepikan masyarakat bukan Islam di negeri-negeri yang ditabirnya malah mereka turut diberi peruntukan dan kedudukan.

“Jika lihat pada negeri-negeri yang ditadbir PAS, masyarakat bukan Islam langsung tidak dipinggir.

“Contohnya di Kelantan, urusan agama, budaya (dan) hidup peruntukan diberi (kepada bukan Islam).

“Kami lantik pegawai Cina, India malah Siam untuk berada dalam kerajaan negeri meski mereka bukan calon (pilihan raya) mahupun ahli dewan undangan negeri.

“Ini menunjukkan kami peduli dengan isu yang melibatkan bukan Islam,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau mengadakan perbincangan dengan sayap bukan Islam – Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) - berkait kerangka dasar serta kaedah pendekatan untuk mendekati kaum lain.

Katanya, meskipun DHPP masih belum menerima sokongan bukan Islam sepenuhnya, mereka bekerja untuk mengukuhkan hubungan.

Di peringkat gabungan, Tuan Ibrahim berkata Perikatan Nasional (PN) diterima baik oleh masyarakat Islam.

Meski memiliki Gerakan dalam gabungan itu bagi mewakili bukan Islam, kata Tuan Ibrahim mereka masih belum berjaya menarik sokongan bukan Islam.

“Dalam pilihan raya lalu (PRU15), kami letak harapan tinggi pada Gerakan tapi mereka masih gagal kerana penguasaan DAP terlalu kuat. Saya fikir MCA, MIC juga gagal (untuk dapatkan sokongan),” katanya.

Kata Tuan Ibrahim beberapa parti bukan Islam ada menyatakan hasrat untuk menjadi sebahagian daripada PN namun beliau mendakwa keputusan masih belum dibuat.

“Ada permohonan daripada parti kaum India yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sebelum ini. Bukan MIC tapi mereka wakili kaum India dan ada juga pemimpin Cina yang turut nyatakan hasrat untuk jadi sebahagian PN,” katanya.

PAS bukan hanya untuk Ustaz atau alim ulama

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata parti penggubal undang-undang bukan hanya dinaungi alim ulama tetapi juga golongan teknokrat.

Katanya pakaian yang disarung pemimpin PAS terutamanya songkok menyebabkan orang luar melihat mereka mempunyai latar belakang agama.

“Kebanyakannya orang tak tahu pemimpin PAS ini ada juga golongan profesional.

“Sebenarnya mereka yang pakai songkok itu profesor, doktor, pensyarah, jurutera dan peguam tapi mereka sertai PAS dan pakai songkok,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim rakyat hari ini mahukan pemimpin PAS yang pelbagai latar belakang pendidikan bukan sekadar alim ulama.

“Dulu, persepsinya ahli PAS mesti ustaz atau orang agama.

“Saya ada latar belakang pendidikan agama tapi apabila jadi kerajaan saya dipertanggungjawabkan  menjaga kementerian alam sekitar dan air.

“Begitu juga Takiyuddin (Hassan) yang belajar di kolej Islam dilantik sebagai menteri undang-undang.

“Jadi kami pelbagaikan dan ini mungkin apa yang rakyat nak lihat. Mungkin ini juga faktor yang akan mempengaruhi sentimen penyokong” tambahnya. – 15 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen