Umno kembalikan 75 jawatan ketua kampung kepada kerajaan Selangor


Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata parti kini meneliti perlantikan pengerusi komuniti desa Madani. – Gambar Facebook, 12 April, 2024.

UMNO Selangor memutuskan untuk menyerahkan semula kesemua 75 jawatan ketua kampung kepada kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH), kata ketua negeri Megat Zulkarnain Omardin.

Megat Zulkarnain berkata parti itu kini meneliti perlantikan pengerusi komuniti desa Madani.

Senarai nama calon bagi jawatan tersebut sudah diserahkan kepada Megat Zulkarnain melalui ketua bahagian dan surat pelantikan dijangka keluar tidak lama lagi.

Jawatan baharu ini diwujudkan di setiap kampung di seluruh Selangor di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. 

Kementerian itu diterajui oleh Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya sudah menerima dan menyerahkan pencalonan ini (daripada ketua bahagian) kepada kementerian, dan kita sudah mendapat kelulusan,” kata Megat Zulkarnain dipetik Utusan Malaysia.

“Susulan sambutan Hari Raya, saya akan mengadakan mesyuarat dengan semua pengerusi dan setiausaha seramai 746 individu, bagi menyerahkan watikah pelantikan mereka dengan disaksikan oleh ketua bahagian.

Perang dingin sedang berlaku antara Umno Selangor dan pentadbiran negeri Pakatan walaupun kedua-duanya bersekutu dalam kerajaan perpaduan peringkat persekutuan.

Pada Januari tahun ini, Umno Selangor menyerahkan semula kuota 20 ahli majlis tempatan kepada kerajaan negeri, dengan berkata peruntukan itu terlalu kecil untuk Umno.

Megat Zulkarnain berkata kuota 20 jawatan yang diperuntukkan kepada Umno hanyalah 7% daripada 288 jawatan dalam 12 majlis tempatan Selangor.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, Umno dan Pakatan bergabung untuk memenangi 34 daripada 56 kerusi di DUN.

Umno, yang memenangi Dusun Tua dan Sungai Tawar, diperuntukkan satu kerusi exco, mengembalikan mereka kepada pentadbiran negeri buat kali pertama sejak kekalahannya pada Pilihan Raya Umum 2008. – 12 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen