Jangan ambil mudah sokongan bukan Melayu, kata pemerhati politik


Alfian Z.M. Tahir

Pengundi bukan Melayu mungkin tidak mahu keluar mengundi sekali gus boleh menjejaskan kerajaan perpaduan pada masa depan, kata pemerhati politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2023.

KERAJAAN perpaduan terutamanya Pakatan Harapan (PH), tidak boleh mengambil mudah pengundi bukan Melayu, jika tidak mereka dijangka mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata pemerhati politik.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan pakatan PH terutamanya, tidak boleh terlalu yakin untuk menikmati sokongan bukan Melayu seperti pada pilihan raya umum lalu.

Sokongan mereka dicerminkan lagi dalam pilihan raya negeri baru-baru ini serta beberapa pilihan raya kecil.

Bagaimanapun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat beberapa rungutan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi bukan Melayu, terutamanya masyarakat India terhadap apa yang dilihat sebagai usaha kerajaan untuk mendapatkan sokongan Melayu.

Pengarah program Merdeka Centre Ibrahim Suffian berkata, kemungkinan orang bukan Melayu tidak keluar mengundi pada PRU akan datang tetap ada.

Tegasnya, sentimen kemarahan yang ditunjukkan oleh masyarakat India sejak beberapa bulan kebelakangan ini juga mungkin menjejaskan peluang kerajaan perpaduan pada masa hadapan.

“Kerajaan perpaduan tidak boleh mengambil mudah pengundi bukan Melayu. Mereka tidak homogen.

“Mereka sentiasa boleh memilih untuk tidak mengundi dan ini akan memberi impak besar kepada peratusan keluar mengundi sekali gus akan menjejaskan kerajaan.

“Sesetengah masyarakat India menyatakan rasa tidak puas hati dan walaupun mereka tidak seperti orang Cina, jika mereka memutuskan untuk menentang kerajaan, gabungan Anwar pasti akan merasai kesannya,” katanya.

Mengambil pilihan raya negeri Selangor sebagai contoh, Ibrahim berkata jika orang bukan Melayu memutuskan untuk tidak mengundi, PH mungkin berdepan tugas berat untuk memenangi negeri itu.

Bersetuju dengan Ibrahim adalah Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre.

Pengarah eksekutif badan tinjauan pendapat itu berkata, kerajaan perpaduan mungkin kehilangan sokongan bukan Melayu jika mereka gagal memperbaiki ekonomi.

Terdapat rungutan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi bukan Melayu, terutamanya masyarakat India baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Disember, 2023.

Hisomuddin bersetuju sebarang kemerosotan undi bukan Melayu akan menjejaskan harapan PH-Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa.

“Pada masa ini memang benar kaum bukan Melayu menyokong penuh PH-BN dan ini terbukti di beberapa kawasan yang mana undi daripada kaum bukan Melayu adalah setinggi 95%.

“Namun mereka tidak boleh ambil mudah kerana corak pengundian boleh berubah, tingkah laku pengundian boleh berubah. Apa yang mengubah tingkah laku adalah isunya, contohnya ekonomi.

“Orang Cina akan melihat ekonomi dan bertanya sama ada kerajaan ini boleh memacu ekonomi. Jika kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki ekonomi, mereka akan kalah.

“Walaupun orang bukan Melayu memilih untuk tidak mengundi mana-mana parti, penurunan peratusan itu pasti akan menyusahkan PH,” kata Hisomuddin.

Sementara itu Dr Oh Ei Sun mengingatkan kerajaan supaya menghargai sokongan orang bukan Melayu atau mereka mungkin sukar untuk mengulangi kejayaan mereka pada pilihan raya sebelum ini.

Penasihat utama Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia itu berkata, jika kerajaan kehilangan sokongan bukan Melayu, kerajaan mungkin akan menyerahkan majoriti tipis kepada pihak lain, sekali gus mewujudkan kerajaan teokratik.

“Kerajaan mesti mendengar rungutan mereka, memandang serius dan tidak memandang remeh. Kehilangan sokongan orang bukan Melayu adalah penamat PH-BN.

“Adalah sukar bagi kerajaan untuk mengulangi kejayaan jika mereka kehilangan sokongan bukan Melayu,” katanya.

Pada PRU15, lebih 80% pengundi bukan Melayu menyokong PH dan hampir sebahagian besar pengundi Melayu menolak gabungan itu.

Gabungan pembangkang Perikatan Nasional pula mendapat sokongan besar orang Melayu, menyaksikan mereka menyapu bersih hampir semua kerusi di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. – 10 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen