Setahun Madani: Etnik mana yang tidak puas hati?


Ruhan Shahrir

Menguruskan masyarakat majmuk rencam etnik, agama, budaya dan bahasa bukan mudah. Takkan mungkin sebuah kerajaan dapat memuaskan hati semua kumpulan etnik dan agama yang ada di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2023.

KAJIAN Merdeka Centre yang baru terbit menunjukkan pandangan masyarakat awam Malaysia terhadap pencapaian kerajaan Madani merosot. Maka bertebarlah cytro berbayar atau tidak berbayar yang taksub Madani di media sosial menghujahkan bahawa pencapaian tersebut jauh lebih baik daripada pencapaian kerajaan-kerajaan yang terdahulu.

Sindrom penafian kelihatannya terus tak terbendung. Budaya bodek pula nampaknya terus kekal berlangsung. Khususnya di kalangan pentaksub Madani.

Membandingkan pencapaian kerajaan madani dengan kerajaan gagal yang terdahulu baik ketika Muhyiddin Yassin atau Ismail Sabri menjadi perdana menteri adalah suatu jalan singkat, malas dan tidak kritis untuk menjustifikasi hakikat kelemahan.

Hala tuju salah meningkat tinggi

Setelah setahun menjadi kerajaan, dapatan kajian Merdeka Centre mengungkapkan sebanyak 60% responden yang diwawancara menyatakan bahawa hala tuju kerajaan Madani adalah salah. Sebaliknya hanya 31% sahaja yang menganggapnya betul.

Ini berbeza di waktu awal tertubuhnya kerajaan Madani dari kajian Merdeka Centre sebelumnya. Ketika itu sebanyak 48% yang menyatakan hala tuju kerajaan Madani adalah betul. Maknanya, setelah setahun di Putrajaya, wibawa kerajaan Madani dalam mengemudi hala tuju Malaysia jatuh sebanyak 17%.

Yang lebih mencolok lagi sebenarnya adalah jumlah responden yang menganggap hala tuju kerajaan Madani ketika ini adalah salah. Di awal penubuhan kerajaan Madani hanya 29% sahaja responden yang menyatakan bahawa hala tujunya salah. Tetapi setelah setahun pemerintahan Madani, jumlahnya meningkat sebanyak 31% menjadi 60% yang tidak berpuas hati dengan hala tuju Malaysia.

Ini satu jumlah yang relatifnya tinggi. Jumlah ini pasti akan memberi kesan besar kepada parti-parti yang menyertai kerajaan Madani pada pilihan raya umum yang ke-16 jika sekiranya tanggapan buruk ini tidak dibetulkan segera.

Etnik/agama sebagai pemboleh ubah

Dalam konteks pilihan raya Malaysia, pada umumnya faktor etnik, agama, umur dan kawasan (bandar/ luar bandar) antara yang mempengaruhi pola pengundian. Dalam rencana ini saya hanya ingin mengutip data dari kajian Merdeka Centre berkenaan dengan tanggapan masyarakat awam Malaysia mengenai hala tuju kerajaan Madani dari sudut etnik atau agama semata-mata.

Ini kerana etnik atau agama adalah antara pemboleh ubah paling penting yang mempengaruhi pola pengundian di pilihan raya Malaysia.

Melayu paling tak puas hati

Kajian Merdeka Centre tersebut memperlihatkan bahawa hampir semua etnik tidak berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani. Baik Melayu, Cina, India dan bumiputera Muslim di Sabah serta Sarawak, masing-masing menunjukkan kadar ketidakpuasan hati yang berbeza-beza. Berbeza kadar tetapi peratus tidak berpuas hati adalah lebih tinggi daripada puas hati.

Hanya Bumiputera bukan Muslim Sabah dan Sarawak sahaja yang kadar berpuas hatinya lebih tinggi daripada tidak berpuas hati mengenai hala tuju kerajaan Madani.

Di antara kumpulan etnik yang tidak berpuas hati itu, masyarakat Melayu nampaknya yang paling tinggi ketidakpuasan hati mereka dengan kerajaan Madani, iaitu sebanyak 67%. Hanya 23% sahaja nampaknya yang berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani.

Ketidakpuasan hati masyarakat Melayu yang tinggi mungkin disebabkan oleh keterpendaman Melayu yang wujud di perasaan mereka akibat peralihan kerajaan yang dominan Melayu-Islam sebelum ini kepada kerajaan yang lebih multi-etnik.

Perubahan ini mungkin sahaja menyebabkan timbulnya rasa keterancaman baik dari sudut kedudukan kuasa politik, ekonomi, sosial dan identiti negara Malaysia yang mereka rasakan semakin tergugat di bawah pemerintahan yang bukan lagi dominan Melayu-Islam.

Keterpendaman India

Masyarakat India turut mencatat peratus ketidakpuasan hati yang juga tinggi. Sebanyak 61% tidak berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani dan hanya 34% sahaja yang berpuas hati. Peratusan ketidakpuasan hati yang tinggi di kalangan masyarakat India itu kemungkinan besar berpunca daripada harapan yang diletakkan kepada kerajaan Madani untuk meningkatkan kedudukan ekonomi serta pendidikan masyarakat mereka yang relatifnya terkebelakang. Namun, setelah setahun berlalu, ia dilihat gagal dizahirkan oleh kerajaan Madani.

Begitu juga -persoalan dasar yang dianggap sebagai diskriminasi etnik khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan terhadap masyarakat India, masih lagi gagal diselesaikan oleh kerajaan Madani secara tuntas meski pun sudah setahun berada di persada kekuasaan negara.

Undi yang mereka berikan kepada parti Pakatan Harapan khususnya di pilihan raya lepas, tidak menzahirkan perubahan yang diharapkan. Harapan terpendam yang tak kesampaian cenderung melahirkan rasa ketidakpuasan hati terhadap hala tuju yang sedang dikemudikan oleh kerajaan Madani khususnya yang berkaitan dengan isu serius yang dihadapi oleh mereka.

Justeru 61% responden daripada masyarakat India menyatakan mereka tidak berpuas hati dengan hala tuju yang sedang dibawa oleh kerajaan Madani.

Kemapanan ekonomi mengurangkan ketidakpuasan hati

Bagi Masyarakat Cina pula peratus ketidakpuasan hati terhadap hala tuju kerajaan Madani relatifnya lebih rendah berbanding dengan masyarakat Melayu dan India. Hanya 54% daripada responden Cina yang tidak berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani, manakala 42% lagi menyatakan mereka berpuas hati.

Kemungkinan kedudukan ekonomi masyarakat Cina yang relatifnya lebih tinggi, berdaya tahan dan punya kemapanan berbanding dengan kedudukan ekonomi etnik lain menyebabkan rasa ketidakpuasan hati mereka tidaklah setinggi masyarakat Melayu dan India khususnya dalam mendepani cabaran pascapandemik yang tidak menentu.

Hegemoni semenanjung semakin luntur di Sabah dan Sarawak

Kategori bumiputera Sabah dan Sarawak dibahagikan kepada dua, iaitu bumiputera Muslim dan bumiputera bukan Muslim. Dari kajian Merdeka Centre kelihatannya masyarakat bumiputera Muslim di Sabah dan Sarawak sedikit lebih tidak berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani berbanding bumiputera bukan Muslim.

Hanya 51% bumiputera Muslim yang tidak berpuas hati, manakala 37% lagi berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani. Ia merupakan jumlah tidak berpuas hati yang paling rendah antara etnik-etnik yang disenaraikan dalam kajian tersebut.

Bumiputera bukan Muslim puls satu-satunya kumpulan yang peratusan berpuas hatinya lebih tinggi daripada yang tidak berpuas hati. Sebanyak 47% bumiputera bukan Muslim menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani, manakala yang tidak berpuas hati cuma 36% sahaja.

Kemungkinan yang boleh disimpulkan daripada dapatan ini ialah secara keseluruhannya bumiputera Sabah dan Sarawak, baik yang Muslim mahu pun bukan Muslim, merasakan bahawa kerajaan Madani punya iltizam untuk menghormati dan memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 yang dituntut oleh mereka.

Seterusnya ramai daripada anggota Parlimen mereka dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri di portfolio yang penting dalam Kabinet kerajaan Madani.

Justeru itu, peratusan ketidakpuasan hati yang relatifnya rendah di kalangan bumiputera Muslim dan peratusan kepuasan hati yang lebih tinggi di  kalangan bumiputera bukan Muslim di Sabah dan Sarawak ditemui dalam kajian Merdeka Centre tersebut.

Pada masa yang sama, memandangkan bumiputera bukan Muslim di Sabah dan Sarawak menjadi satu-satunya kumpulan yang peratusan berpuas hatinya lebih tinggi daripada tidak berpuas hati, maka tidak berlebihan untuk dirumuskan bahawa kemungkinan mereka merasakan hegemoni Melayu-Islam dari Semenanjung telah berkurangan di bawah pemerintahan kerajaan Madani selama setahun ini.

Kurang 4 tahun sebelum PRU16

Menguruskan masyarakat majmuk yang rencam etnik, agama, budaya dan bahasa bukanlah mudah. Takkan mungkin sebuah kerajaan, tidak kira yang baru atau yang lama, dapat memuaskan hati semua kumpulan etnik dan agama yang ada di Malaysia. Pasti akan ada yang tidak berpuas hati.

Tetapi ketidakpuasan hati tersebut boleh dikurangkan. Jumlah 60% daripada masyarakat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan hala tuju kerajaan Madani seperti yang dikutip dari kajian Merdeka Centre tersebut adalah tinggi. Jika ia tidak ditangani dengan segera, cermat, lunak dan strategik, kemungkinan besar pada PRU16 nanti, Madani akan menjadi Mati Ni!

Kerajaan Madani sebenarnya tidak punya masa yang panjang. – 25 November, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen